
SARIKEI: Keteguhan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) selama 63 tahun mencerminkan kecekalan dan semangat juang wanita Sarawak yang terus menjadi sumber inspirasi generasi baharu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, berkata semangat wanita Sarawak yang penuh kesabaran, keberanian dan daya juang telah menjadikan PPWS sebuah institusi yang teguh serta relevan hingga ke hari ini.

“Lebih membanggakan, program pada malam ini turut dihadiri oleh wakil dan ahli PPWS dari seluruh pelusuk Sarawak iaitu dari bandar hingga ke kawasan luar bandar.
“Kehadiran ini membuktikan semangat perpaduan, kesetiaan dan kecintaan kita terhadap perjuangan PPWS yang tidak pernah luntur sejak 63 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh Pemanca Chan Phan Chan selaku wakilnya di majlis makan malam amal sempena sambutan ulang tahun ke-63 PPWS di Dewan Sentral Sarikei, malam tadi.

Katanya, PPWS telah memainkan peranan penting dalam memperkasa wanita bukan sahaja sebagai pengurus rumah tangga, malah sebagai tonggak pembangunan sosial dan ekonomi negeri.
“Melalui pelbagai program seperti aktiviti kebajikan dan pendidikan komuniti, PPWS telah membantu ramai wanita untuk berdikari serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.
“Usaha berterusan ini selaras dengan matlamat kerajaan dalam memperkasakan wanita sebagai ejen perubahan dan rakan pembangunan yang setara.
“Saya yakin, dengan pengalaman 63 tahun yang penuh pencapaian ini, PPWS akan terus berkembang sebagai payung yang melindungi dan memperkasakan wanita Sarawak dalam arus pembangunan moden,” katanya.



MERIAH….Antara yang hadir di majlis makan malam amal sempena sambutan ulang tahun ke-63 PPWS, malam tadi.
Tiong Sii juga berharap agar semangat perjuangan dan kesukarelawanan yang menjadi asas penubuhan PPWS terus subur dan diwarisi oleh generasi muda.
Pada majlis sama, beliau menyalurkan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk aktiviti tahunan PPWS.
Turut hadir Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, Pengerusi Negeri PPWS, Datoʼ Norhyati Mohd Ismail, Pengerusi PPWS Cawangan Sibu/Sarikei/ Kapit, Anni Hashimah Sulaiman, Pengerusi PPWS Daerah Sarikei, Lau Siew Ming dan wakil Pegawai Daerah Sarikei, Ainul Yasmin.
Oleh Earl Anek