
KAPIT: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Kapit mengambil langkah proaktif memperkukuh hala tuju organisasi melalui penganjuran Program Penerangan Pelan Strategik dan Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa serta Majlis Sambutan Hari Persekutuan PPWS yang berlangsung di Fort Sylvia, baru-baru ini.
Program menghimpunkan ahli-ahli dari beberapa perkumpulan di Daerah Kapit ini bertujuan menyelaras struktur organisasi secara lebih sistematik selain memperjelas peranan strategik PPWS dalam memperkasa kaum wanita, khususnya di kawasan pedalaman.
Antara yang hadir termasuklah ahli-ahli Jawatankuasa dan ahli biasa dari PPWS Perkumpulan Emerald Kapit, PPWS Kampung Baru Kapit, serta PPWS Kampung Gelam Song.
Fokus utama program ini adalah untuk menetapkan hala tuju yang jelas dan sistematik melalui Pelan Strategik yang merangkumi analisis situasi semasa, penetapan matlamat, perancangan tindakan, pelaksanaan, serta penilaian dan pemantauan berkala.
Penekanan turut diberikan terhadap keperluan menjadikan pelan ini fleksibel serta mudah disesuaikan dengan perubahan semasa. Sokongan penuh daripada semua pihak yang terlibat termasuk ahli akar umbi dan pengurusan atasan amat penting bagi memastikan pelaksanaan strategi berjalan lancar dan berkesan.
Melalui pelan ini juga, PPWS komited untuk mempertingkatkan kemahiran dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan aktiviti ekonomi, pendidikan, kekeluargaan, dan jalinan kerjasama dengan agensi luar.
Majlis turut diserikan dengan Sambutan Hari Persekutuan PPWS, bertujuan mengingati sejarah penubuhan PPWS dan mempereratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli dari pelbagai perkumpulan di daerah Kapit.
Sambutan ini bukan sahaja mengimbau perjuangan awal wanita dalam memperkasa komuniti, malah menjadi landasan untuk mengukuhkan solidariti dan semangat kerjasama berterusan dalam kalangan wanita Sarawak.
Dengan terlaksananya program seperti ini, PPWS Daerah Kapit terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan wanita di kawasan pedalaman.
Pelaksanaan strategi yang tersusun dan inklusif diyakini mampu mencipta impak jangka panjang dalam memperkasakan wanita agar lebih berdaya saing, berdikari, dan berpengaruh dalam pembangunan masyarakat setempat.
Turut hadir dua Ahli Jawatankuasa Negeri Exco Cawangan Sibu/Sarikei/Kapit, Ummu Hani Junaidi dan Salemah Chali serta barisan kepimpinan PPWS yang lain termasuk Pengerusi Cawangan Sibu/Sarikei/Kapit, Anni Hasimah Sulaiman; Timbalan Pengerusi, Pauline Edna Manjah; Pengelola Cawangan, Maimunah Yusuf dan Pengerusi Daerah Kapit, Evelyn Biju.
Oleh Tarani Lanting