
LIMBANG: Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Rangau, Kertinah Abdul Karim mahu ahlinya mengandakan penglibatan dalam sektor ekonomi perniagaan kecil untuk membantu mengembangkan ekonomi keluarga.
“Kita menyahut saranan pemimpin di peringkat tertinggi yang mengalakkan setiap ahli PPWS untuk terus proaktif dan mempunyai komitmen untuk menganjurkan pelbagai program ke arah memperkasakan keupayaan wanita,” katanya pada Jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) anjuran PPWS Rangau di Dewan RPR Rangau hari ini.
Menurutnya penglibatan ahli-ahlinya dalam program itu adalah penting dalam memperkasakan mereka dalam bidang sosial mahupun ekonomi serta menjadi usahawan berjaya.
Lebih penting katanya, program sedemikian dapat memupuk semangat sukarelawan, memperkukuh hubungan, kerjasama dan muafakat.
Pihaknya turut mensasar untuk memperolehi sekitar RM300 keuntungan pada jualan tersebut.
Turut diadakan pertandingan masakan mi goreng, jualan rahmah seperti barangan baju, tudung, pinggan mangkuk dan sebagainya dengan harga dari RM1 hingga RM5, dan jualan sayur-sayuran, makanan, minuman dan sebagainya.
Oleh Adeng Edrus