Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • PPWS digesa perkemas perancangan, tingkat peranan dalam pembangunan komuniti
  • Utara
  • WILAYAH

PPWS digesa perkemas perancangan, tingkat peranan dalam pembangunan komuniti

Utusan Sarawak 2 days ago
ISKANDAR Turkee dan tetamu jemputan lain menyempurnakan simbolik penyerahan projek RTP kepada PPWS Bintulu/Tatau.

BINTULU: Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu/Tatau digesa memperkemas perancangan organisasi bagi memastikan peranannya dalam pembangunan komuniti terus diperkukuh secara berterusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, langkah tersebut penting supaya setiap program yang dilaksanakan lebih tersusun serta mampu memberi manfaat jangka panjang kepada ahli.

Beliau berkata, perancangan yang jelas termasuk penetapan hala tuju jangka pendek dan jangka panjang akan membantu organisasi berkenaan bergerak lebih sistematik.

“Organisasi seperti PPWS perlu sentiasa bersedia menghadapi perubahan semasa dengan pendekatan yang lebih tersusun dan berfokus,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek siap di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Jepak serta Sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun Bangunan PPWS Daerah Bintulu/Tatau dan Ramah Tamah Aidilfitri di sini, hari ini.

ISKANDAR Turkee dan tetamu jemputan lain memotong pulut kuning sempena Sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun Bangunan PPWS Daerah Bintulu/Tatau.

Menurutnya, selain memperkukuh perancangan, aspek peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan ahli juga perlu diberi perhatian bagi memperluas peluang menjana pendapatan.

Tambah beliau, PPWS berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti melalui pelaksanaan aktiviti ekonomi seperti perusahaan kecil dan perkhidmatan katering.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan penggunaan tenaga alternatif seperti solar bagi meningkatkan kecekapan kemudahan serta mengurangkan kos penyelenggaraan.

Usaha berkenaan, jelasnya, selari dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat.

Selain itu, beliau menegaskan kepentingan menjaga kebajikan ahli termasuk yang berdepan cabaran kesihatan, kewangan dan sosial agar terus mendapat perhatian sewajarnya.

Sementara itu, Pengarah PPWS Negeri, Norhayati Mohd Ismail berkata, premis PPWS Daerah Bintulu/Tatau yang kini menjangkau usia 30 tahun terus memainkan peranan penting sebagai pusat aktiviti pembangunan wanita.

ISKANDAR Turkee menandatangani plak sempena majlis penyerahan Projek RTP bagi kawasan N67 Jepak.

Menurut beliau, pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran telah dilaksanakan bagi memperkasa ahli serta komuniti setempat.

“Peranan premis ini akan terus diperkukuh supaya kekal relevan sebagai pusat pembangunan wanita pada masa hadapan,” katanya.

Oleh Carolyne Utih

Continue Reading

Previous: SPM 2025: Tiga sekolah menengah di DUN Kalaka catat keputusan cemerlang
Next: Sarawak peruntuk RM400,000 naik taraf kiosk jualan makanan di Kampung Nangka, Sibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.