
SIBU: Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia (PPSM) disaran agar menerajui perubahan ke arah pertanian pintar yang merangkumi pertanian ketepatan, sistem pengairan pintar, pengurusan data, serta penggunaan teknologi seperti dron dan penderia.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Persekutuan, Dato Sri Tiong King Sing berkata, penggunaan teknologi moden, khususnya kepintaran buatan (AI), berpotensi besar untuk merevolusikan sektor pertanian negara.
“AI mampu membantu petani menganalisis keadaan tanah, meramalkan corak cuaca, memantau serangan perosak dan penyakit, merancang strategi penanaman secara optimum, serta meramalkan permintaan pasaran untuk menentukan harga yang paling kompetitif bagi hasil mereka.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah turut memartabatkan profesionalisme dalam sektor ini, menjadikan bidang pertanian lebih menarik kepada golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, semasa Persidangan Peladang Kebangsaan 2025 dan Mesyuarat Agung Tahunan yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
ADUN Dudong itu turut menegaskan bahawa pertanian moden kini tidak lagi dilihat sebagai pekerjaan yang membebankan, ketinggalan zaman dan tidak menguntungkan, sebaliknya telah berkembang menjadi satu industri yang menggabungkan teknologi, pengurusan serta strategi pasaran.
“Selagi seseorang itu sanggup berusaha dan terus belajar, bidang pertanian sememangnya mampu memberikan pulangan yang menguntungkan serta kepuasan peribadi yang tinggi.
“Justeru, saya menggalakkan Persatuan Peladang Sibu Sarawak untuk terus memainkan peranan aktif dalam menyediakan platform pembelajaran, perkongsian ilmu dan pengalaman melalui penganjuran latihan, lawatan lapangan serta ceramah keusahawanan tani untuk menarik minat lebih ramai golongan muda,” katanya lagi.
Beliau turut berharap agar persatuan gabungan memperkukuhkan kerjasama dan berkongsi sumber ke arah membentuk ekosistem pertanian yang bersatu, mampan dan saling menguntungkan.
“Pertanian bukanlah sektor yang ketinggalan, sebaliknya ia merupakan harapan baharu bagi Sarawak. Sekiranya kita kekal komited terhadap pembaharuan, menerima inovasi serta mengutamakan kerjasama, pertanian mampu menjadi antara tonggak utama ekonomi Sarawak dalam masa terdekat, sekali gus membuka laluan untuk masa depan yang lebih cerah kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, Pengerusi Pengelola, Tang Ling Poh, Pengerusi Persatuan Peladang Sayur Sibu, Tiew Kiu Sing dan Presiden PPSM, Lim Ser Kwee.
Oleh Akun Giman