SIAP SEDIA… Antara pesilat wanita yang akan turut serta.
PERSATUAN Persilatan Seni Asli Zamrud Kuching (PPSAZK) akan menyenaraikan lapan pesilat pada Pertandingan Silat Tradisi Dan Acara Kesenian sempena Festival Pentas Pendekar Johor 2022.
Pertandingan tersebut yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 Oktober ini bertempat di Dewan Muafakat & Dataran Ayer Hitam, Johor.
Menurut Guru Utama PPSAZK, Abang Mustapha Abang Khaider, antara pesilat yang akan berentap dalam pertandingan itu kelak ialah Raden Irfan Dhani Mohd. Izwandy, Muhd. Irfan Hasri, Balqis Syahira Mohd. Maulana Abdullah, Sharifah Azza Amira Wan Noraffendi, Syed Muhammad Syukri Wan Abu Bakar, Ahmad Adam Asan, Abang Mohamad Hazriq Aznil Abang Mustapha dan Mohammad Faiz Jamaluddin.
Jelas beliau, pesilat berkenaan akan bersaing dalam beberapa kategori yang dipertandingkan.
“Kita tidak meletak sasaran yang tinggi kepada pesilat berkenaa memadai bagi mereka untuk memberikan yang terbaik,” ujar Abang Mustapha.
Beliau akui semua pesilat berkenaan cukup bersedia untuk mengharungi pertandingan berkenaan.
Tambah Abang Mustapha, pertandingan terbabit yang turut disertai pesilat handalan dari negeri-negeri lain.
“Saya percaya pesilat kita akan berdepan tentangan sengit pada hari sebenar pertandingan kelak,” jelas beliau lagi.
Sambil itu, Abang Mustapha memberitahu, para pesilatnya kini sibuk memperkemaskan diri masing-masing dengan menjalani latihan.
“Masih ada masa lagi dan kesemua mereka fokus kepada latihan masing-masing,” kata beliau.
Oleh FATIN SHAHREZA