

KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) menyampaikan sebanyak 127 pek keperluan kepada pesakit kanak-kanak di enam wad kanak-kanak Hospital Umum Sarawak (HUS) sempena sambutan Hari Natal, sebagai usaha menceriakan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan.
Presiden PPS, Dr Wynson Ong berkata, program sumbangan itu merupakan inisiatif berterusan pertubuhan berkenaan yang dilaksanakan pada setiap musim perayaan bagi membawa kegembiraan dan harapan kepada kanak-kanak, khususnya mereka yang terpaksa menyambut perayaan di hospital.
“PPS percaya setiap kanak-kanak berhak merasai kasih sayang dan kegembiraan, lebih-lebih lagi dalam musim perayaan yang penuh makna.
“Oleh itu, program sumbangan ini akan terus dijadikan tradisi PPS bagi memastikan tiada yang tercicir daripada merasai kemeriahan perayaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Program kebajikan itu dianjurkan oleh PPS dengan kerjasama International Education Legacy Foundation sebagai usaha bersama menyemai nilai keprihatinan dan kemanusiaan dalam kalangan masyarakat.
Dalam menjayakan inisiatif tersebut, PPS turut merakamkan penghargaan kepada para penaja termasuk Taka Patisserie atas tajaan kek, Mr Sia, He Tai Development Sdn Bhd, Borneo Planner Management Sdn Bhd, serta sumbangan buah epal daripada Lian Cheng Fresh Fruit & Vegetable Sdn Bhd.
Menurut PPS, sokongan daripada semua pihak amat bermakna dalam menceriakan sambutan perayaan buat kanak-kanak di wad berkenaan.
Program itu turut disertai ahli PPS dan sukarelawan, termasuk Bertrand, Jeff, Donny, Jerry, Sung, Leong, Jian, Connie Ong, Nur Amalina, Siti Zairina, Siti Nur Zafirah dan Syazmeen, yang bersama-sama memastikan kelancaran pelaksanaan program.
Dalam pada itu, Dr Wynson turut merakamkan penghargaan kepada para petugas kesihatan yang terus menjalankan tugas dan amanah mereka walaupun ketika musim perayaan
“Terima kasih atas pengorbanan, dedikasi dan keikhlasan para petugas kesihatan. Jasa anda amat besar dan tidak ternilai,” jelasnya.
PPS, di bawah kepimpinan Dr Wynson Ong, akan terus komited melaksanakan inisiatif kebajikan dan program kemasyarakatan sebagai usaha memberi kembali kepada masyarakat serta menyemai nilai keprihatinan, empati dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.