![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG_9923-1024x683.jpeg)
Dato Sri John Sikie beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Dewan SMK Tatau
TATAU: Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan SMK Tatau dan PPS SMK Bukit Arip serta melihat sendiri situasi semasa bencana di kawasan terjejas.
Setakat ini, seramai 700 orang ditempatkan di PPS SMK Tatau, meningkat berbanding 521 orang semalam.
Berikutan jumlah yang semakin bertambah, bilik-bilik kelas turut digunakan sebagai ruang penempatan bagi memastikan keselesaan mangsa.
Menurut John Sikie, terdapat cabaran dalam pengurusan bantuan banjir, khususnya dari segi penyediaan makanan dan tenaga kerja.
“Memandangkan bilangan mangsa yang ramai, pihak katering di Tatau tidak dapat menyediakan perkhidmatan makanan.
“Oleh yang demikian, kita amat berterima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memasak di PPS Dewan SMK Tatau,” katanya.
Beliau turut menekankan kekurangan tenaga kerja di PPS SMK Tatau kerana sebahagian besar petugas diperlukan di kawasan lain yang turut dilanda bencana.
“Di PPS SMK Tatau, kita kekurangan tenaga manusia kerana kita maklum Bintulu pun terlibat dengan banjir dan memerlukan banyak kakitangan di sana,” jelasnya.
Selepas meninjau PPS, beliau turut melawat Kampung Dagang Tatau untuk melihat sendiri situasi banjir di kawasan itu sebelum bergerak ke RumahTuggang dan Rumah Martin Laja di Jalan SK Iban Union, Sungai Arip, Selangau bagi menilai keadaan tanah runtuh yang berlaku.
Buat masa ini, seramai 662 orang mangsa banjir dari Kampung Dagang Tatau, Kampung Baru Tatau, dan Kampung Seberang Tatau ditempatkan di PPS SMK Tatau, selain 38 mangsa tanah runtuh dari Rumah Cherurai dan Rumah Gumbang.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemindahan dan penghantaran bantuan kepada mereka yang terputus hubungan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi PPS, memindahkan mangsa dan menghantar bantuan bekalan makanan kepada mereka yang terputus hubungan,” katanya.
Oleh Carolyne Utih