
KUCHING: Keadaan semasa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sejijak dilaporkan terkawal dan berjalan dengan teratur.
Semua mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan berada dalam keadaan selamat serta menerima keperluan asas yang mencukupi.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama agensi berkaitan terus melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan keselesaan mangsa sentiasa terjamin.

Pengurusan PPS turut dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian turut meninjau keadaan semasa di PPS SJKC Chung Hua Sejijak bagi memastikan pengurusan dan kebajikan mangsa banjir berada pada tahap terbaik.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa demi keselamatan bersama.