
KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) dilancarkan secara rasmi hari ini dengan misi memperkukuh advokasi kepenggunaan serta menyediakan khidmat maklumat, aduan dan bantuan secara percuma kepada masyarakat di negeri ini.
Penubuhan PPS hadir seiring dengan keperluan mendesak melindungi hak pengguna dalam landskap pasaran yang semakin kompleks.
Pertubuhan ini mahu menjadi suara pengguna tanpa mengira latar belakang, berlandaskan nilai integriti, perpaduan dan amanah.
Presiden Pengasas PPS, Dr Wynson Ong Teck Ping, berkata PPS diwujudkan sebagai rakan kerjasama kepada kerajaan dan pihak industri, bukan untuk menggantikan peranan sedia ada.
“Pengguna adalah asas kepada kemajuan ekonomi. PPS berperanan sebagai platform sokongan dengan menyediakan maklumat, menerima aduan serta memberi bantuan secara percuma.
“Usaha ini diharap dapat memperkukuh langkah kerajaan ke arah mewujudkan pasaran yang lebih adil, selamat dan telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak ditubuhkan, PPS telah menerima lebih 10 aduan melibatkan isu barangan, perkhidmatan dan kontrak. Sebahagian daripadanya telah berjaya disalurkan ke saluran yang sesuai manakala selebihnya masih dalam penelitian pihak pertubuhan.
Dr Wynson menambah, PPS turut merancang untuk bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, komuniti perniagaan serta pertubuhan masyarakat sivil dalam menganjurkan pelbagai inisiatif seperti program pendidikan pengguna, kempen kesedaran anti-penipuan, perkhidmatan sokongan aduan dan ekspo pengguna berskala besar.
“Melalui usaha bersama, PPS yakin dapat menyumbang kepada ekosistem kepenggunaan yang lebih sihat, mampan dan sejahtera di Sarawak,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian rasmi PPS di 017-7109299.
Pelancaran ini memperkukuh komitmen PPS bertekad untuk terus menjadi rakan strategik kepada semua pihak dalam membina persekitaran kepenggunaan yang adil, selamat dan sejahtera.