SIBU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan dibuka di Dewan Komuniti Sibu Jaya bagi menempatkan penduduk yang kediamannya rosak akibat ribut kencang yang melanda kawasan itu petang tadi.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa.
“Timbalan Pengerusi MDLBS, Kaunselor Wong Ching Yong kini berada di lokasi kejadian bersama Ahli Majlis.
“Dewan Komuniti Sibu Jaya akan dibuka sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Kami akan memberikan bantuan sedaya upaya di bawah penyelarasan Pejabat Residen Sibu dengan kerjasama semua agensi berkaitan.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan bantuan dapat disalurkan kepada semua mangsa yang terjejas,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3.00 petang tadi, hujan lebat berserta angin kencang mengakibatkan bumbung beberapa rumah di Sibu Jaya tercabut, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Kebanyakan pemilik rumah tiada di kediaman ketika kejadian kerana masih berada di tempat kerja. Kejadian itu disedari jiran-jiran yang kemudian membantu memantau keadaan rumah yang terjejas.
Oleh Akun Giman




