
MARUDI: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Marudi masih beroperasi walaupun paras air banjir menunjukkan trend penurunan dan cuaca bertambah baik.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Mirwan Shah Masri, seramai 14 mangsa banjir daripada lima keluarga masih berlindung di PPS tersebut.
“Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Padang Kerbau / Tepi Sungai (6 orang), Kampung Cina (2 orang), Kampung Dagang (2 orang) dan Kampung Narum (2 orang),” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dua kanak-kanak seorang lelaki dan seorang perempuan yang sebelum ini ditempatkan di PPS telah kembali ke asrama SK Good Shepherd pada 4.27 petang semalam.
Sementara itu, empat anggota APM Marudi daripada Skuad Bravo yang diketuai L/Kpl (PA) Kamil Tahir giat melaksanakan rondaan dan pemantauan di kawasan terjejas hari ini.
Antara kawasan yang masih dilaporkan ditenggelami air termasuk Kampung Ridan Marudi (0.42 meter), Bandar Marudi (0.30 meter), Kampung Padang Kerbau (0.27 meter), Kampung Dagang (0.23 meter), Kampung Cina (0.12 meter) serta Kampung Narum (0.07 meter).
Selain itu, jalan raya Logan Tasan telah surut sepenuhnya dan kembali boleh dilalui.
Oleh Jiku Juguong