
BINTULU: Seramai 39 mangsa daripada 12 keluarga yang terjejas banjir setakat ini telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah yang dibuka pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bintulu yang juga Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan berkata, pembukaan PPS berkenaan dibuat susulan keadaan cuaca dan paras air yang menjejaskan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
Menurut beliau, PPS Dewan Suarah mula dibuka pada 7.30 pagi tadi atas nasihat Komander Operasi Bencana dan Penolong Komander Operasi Bencana Daerah Bintulu dan akan beroperasi sehingga dimaklumkan kelak.

Beliau berkata, semua agensi berkaitan telah digerakkan bagi menyelaras pengurusan PPS termasuk penyediaan keperluan asas, keselamatan serta pemantauan berterusan terhadap situasi semasa.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
Oleh Carolyne Utih