SEREMBAN: Kesemua 154 Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara akan menerima kemudahan ‘hotspot’ tanpa wayardi bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) PPR menjelang 2025 sekali gus matlamat menjadikan Malaysia berdaya huni mampu dicapai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata untuk peringkat permulaan sebanyak 36 PPR telah dipasang kemudahan Internet berkenaan yang memanfaatkan lebih 150,000 penghuni di kawasan terbabit termasuk Selangor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, pada masa ini sejumlah 80 PPR telah dilengkapi infrastruktur gentian optik, 53 sedang dinaik taraf manakala 21 PPR lagi dalam perancangan untuk dinaik taraf.
“Kita ada bagi peranti tablet untuk pelajar tapi bila mereka nak buat Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) tak dapat kerana capaian Internet terhad, maka tak dapat pendidikan sepatutnya, begitu juga perniagaan yang banyak beralih kepada dalam talian susulan Covid-19, jadi amat tidak adil apabila kediamaan didiami mereka dinafikan akses Internet.
“Internet merupakan utiliti ketiga, dah jadi keperluan dan tiada seorang pun di Malaysia dinafikan daripada menikmatinya. Tiada Internet bermakna tiada kelestarian dalam kehidupan, kita nak warga PPR berada dalam komuniti digital seterusnya mampu menjana pendapatan melalui aplikasi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Jendela PPR dengan kerjasama PR1MA Communications Sdn Bhd dan menyerahkan 20 tablet kepada anak penghuni PPR Senawang di sini semalam.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, semua projek baharu PPR perlu dilengkapi elemen gentian optik seperti yang telah dilaksanakan di dua PPR di Pulau Langkawi bagi membolehkan penghuninya menikmati kemudahan akses Internet lebih baik. — Bernama