

DITAHAN… PPM Wilayah 5 Sibu merampas minyak diesel sebanyak lebih kurang 2,000 liter dalam Op Taring Landai di tepi Jalan Tunku Abdul Rahman, pada Selasa lalu.
SIBU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sibu berjaya merampas sekitar 2,000 liter minyak diesel dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM61,400 dalam Op Taring Landai yang dijalankan di tepi Jalan Tunku Abdul Rahman, Selasa lalu.
Komander PPM Wilayah 5, ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata, dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 6.30 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM W5 Sibu telah menahan seorang lelaki warga tempatan serta melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori berstatus bonded berwarna putih yang berada di tepi jalan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tersebut disyaki membawa muatan sekitar 2,000 liter minyak diesel yang diseleweng, disimpan di dalam sebuah tangki besi berbentuk segi empat yang diletakkan di bahagian belakang lori berkenaan.
“Pemandu kenderaan berkenaan ditahan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran atau permit barang kawalan berhubung pemilikan barang kawalan tersebut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Katanya, setelah proses dokumentasi oleh URM PPM W5 selesai, kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sibu untuk siasatan selanjutnya.
Barang siapa melakukan kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Sek 21 iaitu: Memiliki/Menyimpan/Membawa Barang Kawalan Tanpa Permit/Tanpa Lessen/Tanpa Kebenaran Khas dari pihak KPDN), boleh dihukum penjara atau denda RM atau keduaduanya sekali.
Oleh Akun Giman