ADENG EDRUS
LIMBANG: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu menjadi penggerak untuk membantu memodenkan sektor pertanian di negeri ini.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, PPK boleh memainkan peranan dengan membeli peralatan moden untuk aktiviti pertanian yang boleh disewa atau dijual kepada petani di kawasan masing-masing.
Ini bagi memastikan warga tani di Sarawak terlibat sama dalam kegiatan pertanian moden yang diterajui syarikat swasta, katanya pada pelancaran simbolik Input Pertanian Program Fasilitasi Pertanian (AFF) Dewan Undangan Negeri Bukit Kota di Pejabat PPK Limbang.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kota turut menyeru PPK untuk meningkatkan jumlah keahlian dan menjadi pendorong kepada Good Agriculture Practice (GAP) yang berteraskan teknologi moden.
Dr Abdul Rahman menasihati warga tani supaya tidak membazir masa dengan melayan berbagai berita viral yang tidak mendatangkan faedah atau terlalu terpengaruh dengan permainan politik yang keterlaluan.
Sebaliknya mereka perlu menggunakan kemudahan teknologi komunikasi untuk mempelajari teknologi pertanian moden yang boleh diperolehi daripada saluran Youtube dan sebagainya, katanya.
Dr Abdul Rahman turut menjelaskan tumpuan kepada penanaman nangka madu dan durian Musang King akan dipergiatkan tahun depan.
Ini berdasarkan permintaan tinggi ke atas kedua-dua produk itu di pasaran luar negara, tegas beliau.
Menyentuh mengenai projek pembinaan Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan (CPPC) Limbang, beliau mengakui projek itu mengalami kelewatan sama seperti projek infrastruktur lain akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak Covid-19.
Namun beliau memberi jaminan projek itu akan diteruskan dan dijangka siap penghujung tahun depan.
Oleh itu, penglibatan aktif warga tani dalam sektor pertanian harus ditingkatkan bagi memenuhi permintaan CPPC Limbang kelak.
Ini sejajar dengan wawasan Sarawak untuk menjadi pengeluar makanan utama menjelang tahun 2030.