
SIBURAN: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Mambong mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi sesi 2025-2028 di Dewan Lestari Kampung Sri Arjuna, hari ini.
Mesyuarat menyaksikan pelantikan barisan jawatankuasa baharu yang diketuai oleh Halix Kuyong sebagai pengerusi, dibantu oleh naib pengerusi, Ketua Kampung (KK) Punet Siet.
Turut dilantik ialah Grace Lina Press Jiken sebagai setiausaha, Olivia Sahim sebagai penolong setiausaha, serta Annie Teresa John Rasie sebagai bendahari.
Seramai 10 ahli jawatankuasa turut menganggotai kepimpinan baharu, manakala mesyuarat dihadiri oleh wakil agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan, Penjara Pusat Puncak Borneo, Pusat Latihan Polis, ketua-ketua masyarakat, petugas PPDK, serta ibu bapa pelatih.
Dalam mesyuarat itu, Pengerusi PPDK Mambong, Halix Kuyong, memaklumkan bahawa pusat itu akan berpindah ke premis baharu bagi menampung keperluan pelatih yang semakin bertambah.
“Dengan pertambahan jumlah pelatih setiap tahun, perpindahan ke premis baharu ini amat diperlukan bagi memastikan mereka mendapat persekitaran yang lebih selesa dan selamat untuk menjalani sesi pemulihan serta latihan kemahiran,” katanya.
PPDK Mambong kini mempunyai 11 petugas dan 59 pelatih berdaftar.
Premis lama yang berstatus rumah satu tingkat tidak lagi sesuai dijadikan pusat jagaan, terutama dengan peningkatan jumlah pelatih.
Menurut Halix, kerajaan negeri telah menyediakan tapak tanah untuk pembinaan pusat baharu.
“Kini, selepas berunding dengan konsultan, barulah kita mengetahui anggaran sebenar kos pembinaan pusat ini,” ujarnya.
Bagi merealisasikan pembinaan premis baharu ini, PPDK Mambong turut melancarkan Tabung Pembangunan bagi mengumpul dana daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan, NGO, syarikat korporat, serta individu.
Sumbangan daripada pelbagai pihak amat dialu-alukan, termasuk pemaju yang berminat untuk bekerjasama dalam bentuk usaha sama bagi pembinaan pusat tersebut.
PPDK Mambong telah beroperasi sejak 2007 sebagai pusat pemulihan bagi individu kelainan upaya (OKU), menawarkan pelbagai program sokongan dan latihan kemahiran untuk meningkatkan keupayaan serta kemandirian pelatih.
Oleh Amanda L.