
SARATOK: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bukan sekadar berperanan sebagai pusat pemulihan semata-mata, sebaliknya menjadi landasan penting dalam membina keyakinan diri dan kemahiran asas dalam kalangan anak-anak istimewa.
Institusi itu turut membantu menyerlahkan potensi mereka agar mampu berdikari serta menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pendekatan holistik yang dilaksanakan PPDK membuktikan institusi tersebut memainkan peranan besar dalam memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU) di peringkat akar umbi.
Menurutnya, kejayaan PPDK Saratok yang dikecapi hari ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan, tenaga pengajar, ibu bapa serta sokongan berterusan daripada kerajaan dan komuniti setempat.
“PPDK bukan sekadar pusat pemulihan, malah berperanan sebagai landasan membina keyakinan diri, kemahiran asas dan potensi anak-anak istimewa.
“Kejayaan ini lahir daripada komitmen bersama semua pihak yang sentiasa memastikan anak-anak ini mendapat perhatian dan peluang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang disampaikan oleh wakilnya, Kaunselor Majid Amit Zainuddin sempena Majlis Apresiasi dan Konvokesyen PPDK Saratok bagi sesi 2025, dekat sini semalam.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para pendidik, ibu bapa, sukarelawan serta rakan strategik yang komited menyokong pembangunan dan kebajikan anak-anak istimewa di daerah berkenaan.
Selain meraikan kejayaan para pelatih, majlis berkenaan turut menjadi platform mengiktiraf usaha berterusan dalam memastikan golongan OKU menerima latihan dan pendidikan yang sesuai dengan keupayaan masing-masing.
Dalam pada itu, Pengerusi PPDK Saratok, Aznor Suhada Radzaal dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan harapan agar majlis apresiasi dan konvokesyen tersebut menjadi pemangkin semangat kepada semua pihak untuk terus berganding bahu memperkukuh perkhidmatan yang ditawarkan.
Beliau berkata, komitmen berterusan daripada semua pihak amat penting bagi memastikan anak-anak istimewa terus diberi peluang mengembangkan bakat dan potensi diri dalam suasana yang inklusif.
“Semoga usaha ini dapat diteruskan demi masa depan yang lebih sejahtera dan inklusif buat anak-anak istimewa kita,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman