
SIMANGGANG: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman dengan kerjasama Jawatankuasa Korban Kampung Tengah Simanggang telah berjaya menganjurkan program ibadah korban sempena sambutan Aidiladha, hari ini.
Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Korban Kampung Tengah atas kerjasama cemerlang buat kali kedua berturut-turut dalam menjayakan ibadah korban ini.
“Kerjasama sebegini membuktikan bahawa institusi pendidikan bukan hanya berperanan dalam pembangunan akademik, tetapi turut aktif menyantuni masyarakat serta menyemarakkan nilai-nilai murni melalui penganjuran program kemasyarakatan yang sarat dengan unsur keagamaan dan sosial,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar kolaborasi erat antara PPD dan komuniti setempat dapat diteruskan sebagai medium memperkukuh jaringan ukhuwah serta nilai ihsan dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat.

Dua ekor lembu telah dikorbankan dalam program ini, dengan proses penyembelihan dan pelapahan dilaksanakan secara bergotong-royong oleh para warga pendidik bersama penduduk Kampung Tengah dalam suasana penuh kekeluargaan dan muafakat.
Mewakili Pegawai Pendidikan Daerah dalam sesi agihan daging korban ialah Suhaili Salleh yang menyempurnakan penyampaian bahagian korban kepada peserta serta penerima yang layak, termasuk golongan asnaf, ibu tunggal dan warga emas Kampung Tengah Simanggang.
Program turut disemarakkan dengan aktiviti memasak dan jamuan komuniti, menampilkan menu istimewa seperti sup tulang, nasi tulang sapi dan kari kambing hasil air tangan bergotong-royong, sekali gus mengeratkan lagi silaturahim antara warga PPD dan masyarakat setempat.
Menurut Ketua Kampung Tengah, Kifflie Morni berkata kerjasama ini membawa impak positif dan amat dihargai oleh komuniti kampung.
“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran PPD Sri Aman buat kali kedua. Kolaborasi ini bukan sahaja membina jambatan silaturahim antara penjawat awam dan masyarakat, malah turut mendidik generasi tentang makna sebenar pengorbanan dan erti kebersamaan,” jelasnya.
Oleh Adi Safarman