
SARIKEI: Seramai 113 individu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei bagi 2024.
Sementara itu, seramai 34 individu menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan 2025, manakala 24 pesara turut diraikan dalam Majlis Jasamu Dikenang anjuran PPD Sarikei.
Hadir untuk menyampaikan sijil APC 2024, sijil Anugerah Kecemerlangan Pendidikan 2025 dan sijil penghargaan kepada penerima ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Anthony, hari ini.

Katanya, beliau turut berasa bangga atas kecemerlangan yang dicapai oleh Daerah Sarikei dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 2024.
“Jelas sekali Daerah Sarikei tidak ketinggalan dalam menghasilkan prestasi anak-anak yang cemerlang malah saya dimaklumkan bahawa Daerah Sarikei mencapai keputusan yang terbaik pada 2024. Tahniah dan syabas saya ucapkan atas pencapaian ini.
“Terima kasih kepada pihak PPD, semua sekolah, para pengetua dan guru besar, para guru, para ibu bapa, komuniti setempat dan semua anak-anak calon SPM 2024.
“Tanpa komitmen dan kerjasama daripada semua pihak ini, mustahil kita dapat mencapai keputusan yang membanggakan ini,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Tambahnya, para guru di Daerah Sarikei adalah disarankan untuk bersama menggerakkan Reformasi Pendidikan dan Reformasi Sekolah.
“Negara kita dan negeri Sarawak sangat memerlukan tenaga dan komitmen semua warga pendidik supaya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026 – 2035 yang akan bermula pada tahun depan dapat direalisasikan.
“Saya selaku wakil rakyat yang mendapat mandat oleh rakyat di Parlimen Sarikei akan terus menyokong segala inisiatif PPD Sarikei untuk memartabatkan pencapaian akademik, prestasi kokurikulum mahupun kemenjadian sahsiah anak-anak didik,” katanya.
Katanya, begitu juga harapan kepimpinan tertinggi negeri Sarawak, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Beliau sangat menekankan kecemerlangan anak-anak generasi muda Sarawak kerana hala tuju kerajaan Sarawak adalah untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri dengan ekonomi yang makmur, mampan dan inklusif untuk kesejahteraan semua rakyat negeri ini.
“Kita di Daerah Sarikei harus bersama-sama bergerak seiring dengan hasrat dan aspirasi ini agar Sarikei dapat menyumbang ke arah kemakmuran negara Malaysia amnya sekali gus kemakmuran negeri Sarawak khasnya.
“Kepada guru-guru warga pendidik sekalian, teruslah berusaha untuk memastikan anak-anak muda di Daerah Sarikei tidak ketinggalan dalam pendidikan dan bidang-bidang lain yang boleh memanfaatkan negeri dan negara kita,” katanya lagi.
Tiong Sii berharap para pelajar di Daerah Sarikei dapat merebut peluang pendidikan yang luas sepertimana ditawarkan oleh kerajaan Sarawak melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) mulai 2026.
“Bekalkan ilmu yang terbaik untuk anak-anak didik kita supaya mereka melanjutkan pelajaran di tahap yang lebih tinggi lalu dapat menyumbang bakti demi tanah air tercinta ini kelak,” katanya.
Di majlis sama, beliau turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada PPD Sarikei untuk menjalankan aktiviti tahunan.
Turut hadir Pegawai PPD Sarikei, Lau Ngie Tung dan Pengetua SMK St. Anthony, Vincent Liong Shou Chuan.
Oleh Earl Anek