
MARUDI: Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baram, Matthew Laing Ngau berkata Karnival STEM Baram bukan sekadar medan pertandingan, malah merupakan platform yang amat bermakna dalam usaha membudayakan pemikiran saintifik, kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid.
“Selaras dengan aspirasi pendidikan negara, kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, malah mampu berfikir secara kritis, berinovasi dan bersedia menghadapi cabaran dunia,” katanya.
Ketika menyampaikan ucapan pada Karnival STEM Baram 2026, beliau menegaskan bahawa PPD Baram telah menggariskan tiga fokus utama, iaitu memperkukuh penguasaan Matematik dalam kalangan murid menerusi pelbagai program intervensi dan pengayaan.
Menurutnya, fokus kedua adalah untuk memperkasa pendidikan digital bagi memastikan murid dan guru mampu memanfaatkan teknologi secara berkesan dalam proses pembelajaran.
Manakala fokus ketiga ialah memperluaskan pembudayaan STEM supaya lebih ramai murid berminat menerokai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sebagai laluan kerjaya pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelbagai program telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun ini bagi menyokong ketiga-tiga fokus tersebut.
“Antaranya ialah Baram Mathlympics dan Baram Maths Challenge yang berjaya meningkatkan minat murid terhadap matematik melalui pendedahan yang lebih menyeronokkan, mencabar dan berimpak tinggi,” jelas Matthew.
Menurut beliau, program seperti ini membuktikan bahawa apabila sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti berganding bahu, mereka mampu menyediakan pengalaman pembelajaran yang berkualiti dan bermakna kepada anak-anak Baram.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) atas sokongan padu yang diberikan terhadap pembangunan pendidikan STEM di daerah Baram.
Tegasnya, sumbangan kewangan sebanyak RM30,000 pada tahun 2025 dan RM20,000 pada tahun 2026 amat besar ertinya dalam memastikan pelaksanaan program STEM di daerah itu dapat dijalankan dengan lebih tersusun serta memberi manfaat kepada lebih ramai murid.
“Sokongan ini bukan sekadar bantuan kewangan, malah merupakan satu manifestasi kepercayaan terhadap potensi anak-anak Baram untuk cemerlang dalam bidang STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival STEM 2026 yang diadakan di Dewan Suarah Marudi semalam. Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Haji Mahli.
Oleh Jiku Juguong