
MARUDI: Kontinjen Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baram muncul johan dalam pertandingan sepanduk dan perarakan bagi kategori A sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Miri di Kompleks Sukan Marudi hari ini.
Naib johan disandang kontinjen Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menduduki tempat ketiga. Bagi kategori ini sebanyak 10 kontinjen mengambil bahagaian dengan seramai 279 orang.
Bagi kategori B, johan dimenangi kontinjen Surau Ar-Rahaman Kampung Padang Kerbau, Persatuan Kebajikan Islam Perubatan cawangan Marudi (PERKIP) Hospital Marudi di tempat kedua dan Surau Nur Ihsan Kampung Pemindahan di tempat ketiga. Bagi kategori ini sebanayak sembilan kontinjen yang mengambil bahagian dengan seramai 300 orang.

Sementara itu, bagi kategori C, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Sharif Hamid muncul johan manakalan tempat kedua disandang Kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi dan SMK Telang Usan di tempat ketiga. Hanya dua kontinjen menyertai kategori ini dengan seramai 100 orang.
Keseluruhan kontinjen yang menyertai perhimpunan dan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Miri 1447H/2025M ialah seramai 23 kontinjen dibahagikan kepada tiga kategori.
Kategori A terdiri kontinjen jabatan kerajaan negeri, Persekutuan, badan berkanun, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan pusat kemahiran.
Sementara itu, kategori B terdiri kontinjen masjid, surau, kelab, pertubuhan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan kumpulan hadrah manakala bagi kategori C terdiri sekolah menengah dan rendah.

Timbalan Residen Bahagian Miri, Bujang Rahman Seli berkata Marudi dipilih sebagai tuan rumah majlis perhimpunan dan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Pejabat Daerah Marudi kerana telah berjaya menyempurnakan majlis ini.
Katanya, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini ‘Umah Maju Makmur’ amat signifikan dalam mendepani cabaran masa kini dengan memperkukuh dan meningkatkan perpaduan umat sejagat.

“Tambahan pula, kali ini kita meraikannya buat julung kalinya di Daerah Marudi, satu penghormatan yang membuktikan betapa pentingnya peranan daerah ini dalam memartabatkan Islam,” katanya.
Beliau menegaskan tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi junjungan umat Islam yang mulia.
Di samping itu, program ini juga untuk memupuk semangat kesatuan ummah dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti keagamaan dan sosial.
Oleh Jiku Jukuong