Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di Malaysia bahkan di seluruh dunia menerima kesan yang besar berikutan berlakunya pandemik Covid-19 terutamanya kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Banyak garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan profesional lain dalam memberi fleksibiliti kepada pihak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) agar P&P dapat dijalankan dengan lancar.
Oleh itu, kaedah P&P yang sedia ada di IPT Malaysia telah dinaik taraf kepada P&P secara dalam talian. Ia meliputi semua proses bermula dari merekod kehadiran pelajar sehingga pelaksanaan pentaksiran pelajar. Kehadiran pelajar boleh direkod sama ada secara segerak (synchronous) atau tidak segerak (asynchrounous) dengan menggunakan kaedah yang bersesuaian seperti penggunaan QR code, Google Form dan Microsoft Form.
Menurut Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd Hafiz Abu Hassan, pelaksanaan P&P boleh dilakukan menggunakan pelbagai platform sedia ada. Antaranya ialah MOOC, Open Educational Resources (OER), Flipped Classroom secara dalam talian serta kelas tutor secara maya yang menggunakan Big Blue Button dan Learning Management System (LMS). Pelantar ini juga mampu untuk merakam kehadiran pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang dilakukan pelajar.
“Selain itu, pelaksanaan P&P dalam talian secara segerak boleh dilakukan dengan mengunakan Microsoft Teams, Webex, Facebook Live, Google Classroom, Google Meet, Zoom dan Skype For Business.
“Bagi pelaksanaan secara tidak segerak pula, boleh dilakukan dengan mengunakan Microsoft PowerPoint, Microsoft PowerPoint Recording, YouTube, Powtoon, Prezi, WeVideo, SoundCloud, Google Slides, Slideshare, Google Drive, Dropbox, Screencast-O-Matic, VideoScribe, sumber daripada Khan Academy, Edmodo, Google Classroom, Facebook, Instagram, Twitter, Pinterest dan Flickr.
“Sementara itu, pelaksanaan aktiviti P&P bersama pelajar boleh dilakukan dengan menggunakan Google Form, Microsoft Form, Padlet, Blendspace, Mentimeter, Flipgrid dan Mindmeister yangmana setiap alat bantuan P&P dalam talian boleh disemak di laman sesawang Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Tambahnya, pelaksanaan penilaian dan pentaksiran dalam talian pula boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah dan seharusnya berpandukan kaedah Outcome Based Education (OBE) dengan merujuk kepada Bloom’s Digital Taxonomy bagi membangunkan rubrik yang bersesuaian dengan keperluan kurikulum program.
“Pelbagai medium pentaksiran dalam talian yang boleh diketengahkan seperti Socrative, GoFormative, Kahoot, Quizziz, Quizlet, Gimkit, Poll Everywhere dan EdPuzzle yang mana ianya juga boleh dicapai di laman sesawang UNESCO.
Ujarnya, pelaksanaan peperiksaan akhir secara dalam talian juga boleh dilaksanakan namun perlu mengambil kira kesediaan pensyarah dan pelajar daripada segi infrastruktur, internet akses dan perbezaan zon masa pelajar antarabangsa.
Dalam pada itu, di sebalik pelbagai kaedah tersedia yang boleh diguna pakai, ada segelintir pelajar mempunyai kekurangan daripada segi peranti dan capaian internet. Oleh yang demikian, Kempen Pakej Pelan Data dan Peranti kepada Pelajar IPT yang dilancarkan oleh KPT pada 30 Oktober 2020 lalu merupakan satu inisiatif bantuan untuk pelajar IPT.
Bagi inisiatif ini, KPT bekerjasama dengan pihak IPT dan menyelaraskan empat jenis bantuan pakej pelan data dan peranti kepada mereka. Hal ini mampu memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi sesi P&P secara dalam talian untuk semua.
Antaranya bantuan yang disediakan adalah Bantuan Kewangan Prihatin One-Off RM50 kepada pelajar baharu Universiti Awam (UA) bagi sesi akademik 2020/2021 bertujuan langganan awal pelan data dan bantuan pelan data berbentuk kad sim atau sumbangan tunai kepada pelajar universiti awam (UA) dari golongan B40.
Selain itu, bantuan memiliki peranti kepada pelajar UA dari golongan B40 serta bantuan pakej pelan data dan peranti istimewa kepada semua pelajar IPT turut disediakan.
Bukan itu sahaja, KPT turut mengusahakan penyelenggaraan dan menaik taraf sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di IPT bagi melancarkan proses pengendalian P&P serta pakej pelan data untuk pelajar di luar kampus. Ini sekaligus memudahkan pelajar yang berada di kawasan bandar dan luar bandar.
Namun, kakitangan IPT juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan dan kebajikan pelajar. Sebagai contoh, sekiranya terdapat masalah berhubung P&P, pensyarah perlu mencari alternatif lain seperti merakam kelas dalam talian dan muat naik video tersebut ke YouTube atau emelkan video tersebut kepada pelajar.
Tuntasnya, semua pihak yang terlibat perlu bekerjasama dalam menghadapi norma baharu ini. Segala amalan yang baik perlu menjadi ikutan dan garis panduan bagi pelaksanaan P&P pada masa akan datang. Pendek kata, KPT, MQA dan badan profesional lain perlu lebih fleksibel demi memastikan P&P boleh terus dilaksanakan tanpa mengabaikan kualiti yang diperlukan.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH