
SERIAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkasa pekebun kecil di Sarawak melalui pelbagai inisiatif dan program di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Berucap semasa Program Pekebun Kecil Makmur dan sambutan Pra-Gawai RISDA Negeri Sarawak 2025, Zahid berkata, sambutan Gawai yang diraikan oleh masyarakat Dayak bukan sahaja memperkukuh perpaduan malah menjadi medan meraikan kebersamaan antara kaum dan agama di negeri ini.
“Saya amat menghormati adat, budaya dan agama masyarakat Sarawak yang sentiasa menzahirkan semangat perpaduan yang tinggi. Ini wajar dijadikan contoh oleh negeri lain di Malaysia,” katanya pada Program Pekebun Kecil Makmur dan sambutan Pra-Gawai RISDA Negeri Sarawak 2025 di Rumah Guang Latip, Kampung Raeh Baru, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan memberi perhatian penuh terhadap pembangunan pekebun kecil di Sarawak bagi memastikan taraf hidup penduduk luar bandar dapat dipertingkatkan selaras dengan arus pemodenan negara.
Menurutnya, RISDA memainkan peranan penting dalam membantu pekebun kecil khususnya dari segi latihan penanaman, pemasaran hasil pertanian serta memperkenalkan teknologi moden yang dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan.
“Getah lateks adalah antara komoditi yang boleh memberi pulangan baik kepada pekebun kecil jika diuruskan dengan betul. Kita juga akan terus mantapkan penjualan getah beku dengan sokongan penuh RISDA,” jelas beliau.
Zahid turut menggalakkan golongan belia untuk menyertai program-program yang dianjurkan RISDA, selari dengan usaha memperkenalkan teknik moden dan inovatif dalam bidang pertanian.
“Teknologi baru mampu menarik minat anak muda untuk menceburi sektor ini dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan yang lumayan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam membantu masyarakat setempat berjaya dalam industri penanaman getah, kelapa sawit dan pelbagai tanaman lain.
Jelasnya, peranan RISDA adalah amat penting dalam membantu menjana ekonomi penduduk luar bandar, sekali gus memastikan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh di seluruh negara.
Oleh Norman B.