
BINTANGOR: Program Penjangkauan Santuni Komuniti (POSKOM) anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei akan berlangsung selama dua hari pada 12 dan 13 Julai 2025 bertempat di Dewan Masyarakat Meradong.
Program ini bertujuan mendekati masyarakat setempat dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan kebajikan, khidmat nasihat, serta aktiviti bermanfaat secara langsung kepada komuniti.
Antara aktiviti menarik yang akan diadakan termasuk Pertandingan tanah liat kering, pertunjukan fesyen, Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR), senamrobik, cabutan bertuah, demonstrasi bantuan kecemasan dan sukaneka warga emas.
Selain itu, beberapa sesi taklimat turut dijadualkan sepanjang program seperti Taklimat Bantuan Kesejahteraan Sosial, Taklimat Pengurusan Bencana, Taklimat Kempen Pendaftaran OKU, Taklimat Penguatkuasaan, Taklimat Pembangunan Ekonomi, Taklimat Perlindungan Kanak-Kanak serta Taklimat KGC, SCHB dan BIK.
Orang ramai juga boleh mengunjungi pelbagai reruai perkhidmatan seperti permohonan Bantuan Kewangan JKM, permohonan dan penggantian Kad OKU, pendaftaran serta cetakan Kad Kenyalang Emas (KGC), saringan kesihatan dan pameran agensi luar.
Turut disediakan ialah jualan produk daripada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan usahawan Wellbest di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.
POSKOM memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat, bantuan dan bimbingan secara terus tanpa perlu ke pejabat agensi, sekali gus menjimatkan masa dan memudahkan urusan.
Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan sesuai untuk seisi keluarga hadir bersama memanfaatkan peluang yang ditawarkan.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Dewan Masyarakat Meradong pada 12 dan 13 Julai ini, bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang bagi memeriahkan program serta mendapatkan manfaat secara terus daripada agensi yang terlibat.
Oleh Earl Anek