
KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad menjangkakan jumlah bungkusan meningkat antara 15 hingga 20 peratus sepanjang tempoh Aidilfitri tahun ini berbanding bulan biasa, didorong terutamanya oleh pembelian pakaian raya dan tudung.
Syarikat kurier nasional itu berkata musim perayaan lazimnya mencatat lonjakan ketara dalam penghantaran bungkusan sepanjang tempoh Ramadan hingga menjelang Aidilfitri, melebihi kadar operasi bulanan biasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Charles Brewer berkata peningkatan tersebut turut dipacu kempen e-dagang, pemberian hadiah perayaan serta penghantaran saat akhir sebelum tarikh akhir penghantaran apabila orang ramai membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Beliau berkata syarikat mengekalkan kesiapsiagaan operasi sepanjang tahun bagi memastikan penghantaran berjalan lancar di seluruh negara, khususnya ketika musim perayaan apabila jumlah bungkusan meningkat dengan ketara.
“Seperti setiap musim hari raya, kami menjangkakan peningkatan jumlah bungkusan dan bersedia sepenuhnya untuk menguruskan lonjakan ini dari segi operasi sambil terus memenuhi perjanjian tahap perkhidmatan bungkusan,” katanya kepada Bernama.
Bagi memastikan bungkusan sampai tepat pada masanya, beliau berkata Pos Malaysia melaksanakan beberapa langkah termasuk mengira jangkaan jumlah penghantaran dan perancangan permintaan menggunakan kecerdasan buatan (AI), meningkatkan penglibatan bersama pelanggan serta memaklumkan dengan jelas tarikh akhir penghantaran sempena musim perayaan ini.
Syarikat itu juga menjalankan pemantauan operasi secara berterusan, menyesuaikan tenaga kerja dan jadual sepanjang tempoh hari raya serta menambah kapasiti penghantaran luaran apabila diperlukan bagi memenuhi permintaan puncak, kata beliau. – Bernama