Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Portugal mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia hasil jaringan Ramos
  • SUKAN

Portugal mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia hasil jaringan Ramos

Utusan Sarawak 6 hours ago
PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo (tengah), meraikan jaringan yang kemudiannya dibatalkan kerana ofsaid dalam perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 antara Portugal dan Croatia di Stadium Toronto, Toronto, pada 2 Julai 2026. Foto AFP

TORONTO, Kanada: Gol tandukan pemain gantian, Goncalo Ramos, pada masa kecederaan memastikan Portugal mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia selepas menewaskan Croatia 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung sengit sebentar tadi.

Ramos menyempurnakan hantaran menarik Rafael Leao pada minit keempat masa kecederaan untuk mematahkan harapan Croatia, yang lebih banyak mencipta peluang sepanjang perlawanan dalam cuaca panas dan meletihkan di Toronto.

PEMAIN Croatia, Ivan Perisic, meraikan jaringan pertama pasukannya dalam perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Portugal dan Croatia di Stadium Toronto, Toronto, Ontario, pada 2 Julai 2026. Foto AFP

Dalam penamat yang dramatik, Croatia menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir menerusi jaringan Josko Gvardiol. Namun begitu, gol tersebut dibatalkan selepas semakan mendapati beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan itu mengecewakan barisan pemain Croatia, manakala pemain Portugal meraikan kemenangan yang mengesahkan kemaraan mereka.

Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, turut memainkan peranan penting apabila menyempurnakan sepakan penalti bagi memadamkan kelebihan awal Croatia hasil jaringan Ivan Perisic.

PEMAIN pertahanan Portugal, Joao Cancelo (kiri), bersaing merebut bola dengan pemain tengah Croatia, Martin Baturina, dalam perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 antara Portugal dan Croatia di Stadium Toronto, Toronto, pada 2 Julai 2026. Foto AFP

Jaringan tersebut merupakan gol pertama Ronaldo dalam aksi kalah mati Piala Dunia sepanjang kariernya, sekali gus membuka peluang untuk beliau menambah satu lagi detik bersejarah apabila Portugal dijadualkan menentang Sepanyol di Dallas.

Perisic mengejutkan Portugal pada minit ke-53 apabila tenang menyudahkan peluang dengan menolak bola melepasi penjaga gol Portugal, Diogo Costa, yang mara keluar daripada gawang.

Beberapa minit kemudian, Ronaldo berjaya menjaringkan gol selepas mengawal hantaran jauh, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid.

PEMAIN tengah Croatia, Luka Modric, memberikan penghargaan kepada para penyokong selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Portugal dalam perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Toronto, Toronto, Ontario, pada 2 Julai 2026. — Foto AFP

Portugal akhirnya menyamakan kedudukan apabila Renato Veiga dijatuhkan oleh Nikola Vlasic di dalam kotak penalti. Selepas semakan menggunakan Sistem Bantuan Pengadil Video (VAR), pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Portugal.

Ronaldo tidak berdepan sebarang masalah untuk menyempurnakan sepakan tersebut apabila beliau tenang merembat bola tepat ke tengah gawang sebelum meraikan jaringan itu dengan penuh kegembiraan.

Dalam perlawanan yang berlangsung rancak, percubaan rendah pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic, berjaya ditepis Costa dengan hujung jari sehingga bola terkena tiang gol.

PEMAIN Portugal, Nuno Mendes (kiri), mengawal bola sambil diasak pemain Croatia, dalam perlawanan pusingan 32 terakhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Portugal dan Croatia di Stadium Toronto, Toronto, Ontario, pada 2 Julai 2026. Foto AFP

Croatia terus mengasak dan Peta Sucic turut berjaya menewaskan Costa, namun jaringan tersebut dibatalkan selepas penjaga garisan mengangkat bendera kerana ofsaid yang jelas. Ronaldo dikeluarkan pada minit ke-81 bagi memberi laluan kepada Ruben Neves.

Croatia terus menguasai serangan dan mencipta lebih banyak peluang berbanding Portugal. Mario Pasalic hampir menghadiahkan kemenangan kepada pasukannya menerusi tandukan di tiang jauh, namun bola sekadar melewati sisi gawang.

Bagaimanapun, pada saat yang paling genting, Ramos muncul sebagai wira apabila menanduk masuk hantaran Leao untuk menghadiahkan kemenangan kepada Portugal sekali gus memastikan kemaraan mereka ke pusingan 16 terakhir. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Yamal gembira Sepanyol mara, akui terkilan gagal jaring gol
Next: Mesir gusar tahap kecergasan Salah menjelang aksi Piala Dunia menentang Australia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.