Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Portugal juara Piala Negara-Negara Eropah kali kedua selepas tewaskan Sepanyol
  • SUKAN

Portugal juara Piala Negara-Negara Eropah kali kedua selepas tewaskan Sepanyol

Utusan Sarawak 14 hours ago
PENYERANG Portugal #07 Cristiano Ronaldo (tengah) menjulang trofi selepas memenangi perlawanan akhir bola sepak UEFA Liga Negara-Negara antara Portugal dan Sepanyol di Munich, selatan Jerman, semalam. -Foto AFP

MUNICH, JERMAN: Portugal mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kejuaraan UEFA Nations League atau Piala Negara-Negara Eropah buat kali kedua selepas menewaskan Sepanyol di Allianz Arena, Munich semalam.

Portugal dua kali ketinggalan dalam masa permainan sebenar, tetapi dua kali bangkit untuk menyamakan kedudukan.

“Semangat juang dan kesepaduan kami menjadi faktor penentu hari ini,” kata Bruno Fernandes, yang turut menyempurnakan penaltinya, kepada RTL.

“Apabila kami bersatu begini, kami sangat sukar untuk ditewaskan.”

Pada minit ke-21, Martin Zubimendi mengambil kesempatan daripada kelalaian pertahanan Portugal untuk meletakkan Sepanyol di hadapan.

Nuno Mendes yang cemerlang menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Mikel Oyarzabal, penjaring gol Sepanyol dalam final Euro 2024 dan final Liga Negara-Negara 2023, kembali meletakkan La Roja di depan sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.

Cristiano Ronaldo, yang sebelum ini agak tenggelam tetapi menjaringkan gol kemenangan menentang Jerman dalam separuh akhir, menyamakan kedudukan pada minit ke-61. Beliau segera menyesuaikan diri selepas hantaran lintang Mendes terkena defleksi ke udara, mengatasi Marc Cucurella dan merembat bola jatuh itu masuk ke gawang.

Ronaldo dikeluarkan sebelum tamat masa sebenar akibat kejang otot. Walaupun Portugal lebih menguasai masa tambahan, perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penalti.

Kedua-dua pasukan menyempurnakan tiga sepakan penalti pertama mereka. Mendes menjaringkan penalti keempat untuk Portugal, sebelum Morata menyepak terus ke arah Diogo Costa.

Neves dengan tenang menyempurnakan sepakan penentu di hadapan penyokong Portugal yang memenuhi stadium dengan warna merah dan hijau.

Di tepi padang, Ronaldo tidak sanggup melihat sepakan terakhir dan menyorokkan wajahnya pada belakang rakan sepasukan. Setelah Neves menjaringkan gol, Ronaldo berlutut dan segera dipeluk oleh rakan dan kakitangan pasukan.

Kemenangan ini merupakan hanya kemenangan kedua Portugal ke atas Sepanyol dalam perlawanan kompetitif dalam sejarah panjang mereka.

Satu-satunya kemenangan kompetitif Portugal sebelum ini ke atas Sepanyol ialah kemenangan 1-0 yang menyingkirkan Sepanyol dari Euro 2004, ketika Ronaldo berusia 19 tahun bermain di sayap kiri.

Portugal kini menjadi pasukan pertama yang menjuarai Liga Negara-Negara sebanyak dua kali sejak ia diperkenalkan pada 2018. Ini juga merupakan gelaran utama ketiga mereka, selepas Euro 2016.

Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, berkata perlawanan itu “imbang”.

“Kami melakukan banyak perkara dengan baik, tetapi dalam bola sepak kadangkala perkara berlaku dan lawan mampu menewaskan anda,” katanya. -AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Prestasi juang Pearly Tan-M. Thinaah ‘hebat’
Next: Insiden kematian penonton bayangi kemenangan Portugal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.