
BUDAPEST: Polis di Hungary pada Selasa memaklumkan yang mereka sedang menyiasat seorang porter hospital kerana disyaki mengumpul dan menyimpan anggota badan manusia di dalam pangsapuri untuk kegunaan sendiri, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Siasatan kes berkaitan kanibalisme melibatkan lelaki berusia 30 tahun itu dikatakan berlaku di ibu negara, Budapest.
Pegawai yang menggeledah rumahnya merampas tulang manusia, keseluruhan bahagian bawah kaki, belakang tapak tangan, beberapa tengkorak dan bahagian muka manusia yang diawet.
Semasa disoal siasat, lelaki itu menyatakan yang dia tertarik dengan anggota badan manusia dan memasak serta memakan sebahagian daripadanya.
Dia dilaporkan memperoleh anggota badan itu di tempat kerjanya dan menggali semula sebahagian yang lain dari tanah perkuburan di Hungary dan negara jiran, Slovakia.
Suspek bercakap secara terbuka dengan keluarga dan rakannya mengenai minatnya yang ngeri itu, malah sempat mengambil gambar “koleksinya”, yang turut dirampas oleh polis.
Lelaki itu, yang tugasnya merangkumi membawa pesakit di sekitar hospital, pada mulanya ditahan pada 17 Jun dan kini berada di bawah pengawasan kehakiman.
Pejabat pendakwa raya sedang menyiasatnya kerana disyaki mengganggu ketenteraman si mati.- Bernama-dpa