
KUCHING: Pondok kupon parkir di sekitar bandar raya ini bakal dinaik taraf kepada pondok moden bercirikan teknologi hijau oleh syarikat konsesi baharu, Pay & Go Sdn Bhd, sebaik rundingan dengan pengendali sedia ada, Kuching City Parking Systems Sdn Bhd (KCPS) dimuktamadkan.
Pengarah Urusan Pay & Go, Eddie Wee, berkata pelan tersebut antara usaha pihaknya untuk memperkukuh imej bandar raya pintar dengan menaik taraf kemudahan sedia ada ke arah lebih moden dan mesra alam.
“Pondok sedia ada telah lama digunakan. Pay & Go bercadang menaik tarafnya kepada reka bentuk lebih moden, dengan paparan LED dan tenaga solar di bumbung bagi menonjolkan imej hijau.
“Namun begitu, pelaksanaannya tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan KCPS kerana pondok-pondok ini masih di bawah kawalan mereka,” katanya pada sidang media pengumuman pengendali Sistem Parkir Pintar Kuching di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Kuching Selatan, di sini, hari ini.
Datuk Bandar Kuching Utara,Datuk Hilmy Othman dalam pada itu berkata, beberapa pondok kupon sedia ada terletak di kawasan strategik dan sesuai dikekalkan sekiranya mendapat persetujuan bersama.

“Kami percaya ada pondok di lokasi yang baik dan boleh digunakan semula oleh Pay & Go, bergantung kepada hasil rundingan dengan KCPS,” ujarnya.
Dalam sidang media sama, Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng menjelaskan pelaksanaan sistem parkir baharu oleh Pay & Go akan melalui fasa percubaan bermula 1 November ini, manakala operasi penuh dijangka bermula Januari 2026.
Menurutnya, Pay & Go dipilih melalui proses Permohonan Cadangan (Request for Proposal, RFP) selepas dinilai dari segi keupayaan teknikal, pengalaman operasi dan kekuatan kewangan.
“Kita mahu pastikan peralihan ini berjalan lancar, tanpa gangguan kepada pengguna. Sepanjang tempoh percubaan, kadar bayaran parkir, termasuk parkir bermusim dan parkir khas, kekal tidak berubah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa orang ramai supaya segera menjelaskan kompaun tertunggak sebagai pengguna yang bertanggungjawab.
“Kompaun yang belum dibayar tetap menjadi tanggungan kepada pihak berkuasa tempatan, bukan kepada KCPS. Jadi ambil peluang sekarang sebab kita beri diskaun 50 peratus,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan, kupon parkir sedia ada yang dikeluarkan KCPS masih dalam perbincangan dan akan diselaraskan bagi memastikan peralihan kepada sistem baharu berjalan lancar.
Sistem parkir baharu itu akan memperkenalkan penggunaan aplikasi Pay & Go, pembayaran tanpa tunai serta teknologi pengecaman nombor plat (LPR) bagi penguatkuasaan lebih efisien dan telus.
Oleh Shahrul Qaizat