


MIRI: Penduduk di Kampung Pasir, Simpang 3, Lutong malam tadi dikejutkan dengan insiden kebakaran yang memusnahkan sebuah pondok enjin jana kuasa.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden pada 7.57 malam.
Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dengan kekuatan enam orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dikejarkan ke lokasi bagi membantu operasi pemadaman.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati sebuah pondok tidak kekal berukuran 5×8 kaki telah terbakar sepenuhnya.
“Pondok tersebut merupakan milik perseorangan bagi bekalan elektrik di rumah dan terletak berasingan dari bangunan rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
“Setelah membuat pemantauan di lokasi, PKO segera menjalankan operasi pemadaman berkonsepkan RECEO dengan satu aliran 200 kaki, satu nozel air daripada tangki jentera,” ujar beliau.
Katanya lagi, tiada sebarang kemerebakan yang mengancam bangunan yang berdekatan.
Operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 8.05 malam setelah PKO memastikan semua sisa telah dipadamkan sepenuhnya.
Oleh Rynna Sha’erra