
LOMPAT parti adalah salah satu daripada strategi politik, paling kurang ialah langkah taktikal politik, meskipun sering dianggap negatif, tindakan oportunis dan tidak berpendirian.
Sebagai salah satu strategi politik yang dianggap ampuh, paling kurang di peringkat individu, tindakan ini bukan sahaja mempengaruhi kawasan diwakili, malah boleh mempengaruhi politik negeri.
Analisis ini meneliti perkembangan ahli politik Sabah yang melakukan lompat parti, hingga mempengaruhi pembentukan kerajaan negeri.
Daripada USNO ke UMNO
Hajiji Noor, seorang ahli politik yang berbakat besar dan tahu erti politik, membaca selok belok politik dan bergerak ke depan melalui ilmu politik rencah harian Sabah.

Pada mulanya beliau menyertai parti Bersatu Sabah (USNO) pada 1990 hingga 1994.
Anak didik Tun Mustapha Harun ini berjaya melalui liku politik yang asalnya sebagai calon payung terjun apabila buat pertama kali diminta oleh Tun Mustapha bertanding pada 1990 atas tiket USNO.
Selepas itu, beliau menyertai UMNO, iaitu selepas pembubaran USNO. UMNO telah banyak memberikan pengalaman, kedudukan dan kuasa kepada Hajiji.
Pengalaman politik sebagai Ketua Bahagian Tuaran dan Bendahari UMNO Sabah mengasah kepimpinannya menjadi lebih arif dalam rundingan politik dan pintar membentuk pakatan politik.
Sebelum itu, pada 1992 beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada Ghafar Baba Timbalan Perdana Menteri sehingga tahun 1994.
Kedudukan dalam UMNO beliau sejak 1994 telah memberikannya peluang dan lantikan sebagai pembantu menteri kerajaan negeri Sabah di potfolio Belia dan sukan, pembangunan industri, di Jabatan Ketua Menteri, malah dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2004- 2018).
Beliau menjadi ADUN Sulaman tidak kurang selama enam penggal sehingga tsunami politik.
Bermakna sebahagian besar politik Hajiji didukung oleh UMNO dan tanpa UMNO sukar untuk beliau bergerak ke depan dalam konteks jangka panjang khususnya pada PRN Sabah 2025 ini.
Melompat UMNO ke Bersatu
Kejatuhan BN pada 2018 telah melemahkan struktur UMNO Sabah. Maka Hajiji keluar UMNO dan kemudian mengetuai Bersatu Sabah pada 2019, satu langkah oportunis politik yang dikenali sebagai political hedging.
Sebelum ini beliau mengikut arus dan kemudian dilantik sebagai Ketua BERSATU Sabah (2019) dan dilantik sebagai Ketua Perhubungan Perikatan Nasional (PN) – Sabah (2020, 2021 – rasmi), seterusnya dilantik sebagai Ketua Menteri ke-16 Negeri Sabah pada 28 September 2020.

Hajiji membuat langkah berani dengan mengisytiharkan keguguran keahlian PPBM di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ini menyebabkan hubungan Hajiji dan Bersatu mulai dingin.
Maka PRN Sabah 2025 ini, PN mahu bertindak balas menentang GRS. Begitu juga UMNO, tidak selesa dengan GRS, bukan sahaja pernah lompat parti UMNO ke Bersatu, akan tetapi tidak mengota janji menyebabkan Langkah Kinabalu.
Politik berpagar dua
Tindak tanduk Hajiji dapat dibaca berdasarkan prinsip politik berpagar dua iaitu strategi politik untuk melindungi diri daripada risiko dengan cuba tidak berpihak secara mutlak kepada mana-mana pihak, sebaliknya mengekalkan fleksibiliti supaya masih boleh bekerjasama dengan kedua-dua belah jika keadaan berubah.
Dalam konteks politik, khususnya untuk Hajiji Noor, “hedging” membawa maksud beliau yang tidak mahu mengikat dirinya sepenuhnya dengan parti pusat seperti UMNO atau BERSATU, tetapi mengekalkan ruang manipulasi — sama ada untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional, Barisan Nasional, atau Pakatan Harapan — bergantung kepada siapa yang memberi lebih manfaat kepada kepentingan politik kepada beliau dan Sabah.
Pada PRN Sabah kali ini, Hajiji dan GRS bekerjasama dengan Pakatan Harapan akan tetapi disebabkan BN tahu belang politik Hajiji, usaha berpagar dua dengan UMNO tidak berjaya.
Sabah berpagar dua?
Dalam konteks politik Malaysia, khususnya Sabah, politik berpagar dua ini bermaksud menjaga kedudukan politik dengan tidak bergantung sepenuhnya kepada satu gabungan pusat, tetapi mengekalkan hubungan baik dengan beberapa pihak untuk meminimumkan risiko kehilangan kuasa.
Situasi politik Sabah ini sangat dinamik dan berasaskan jaringan lokal, personaliti dan naungan, bukan ideologi parti. Oleh itu, strategi berpagar dua ini membolehkan pemimpin untuk menyesuaikan diri dengan perubahan Kerajaan Pusat, mengelak ‘dibekukan’ daripada bantuan pembangunan dan menjamin kestabilan sokongan di negeri walau pihak mana-mana pun yang berkuasa di Putrajaya.
Kedinamikan berpolitik
Sebelum ini, Hajiji mengikut arus politik perdana apabila tiupan politik parti Bersatu begitu kuat pimpinan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan beliau keluar UMNO dan menyertai parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia Cawangan Sabah (PPBM Sabah) dan telah dilantik sebagai Ketua BERSATU untuk bahagian Sabah serta dilantik sebagai Ketua Perikatan Nasional (PN)Sabah pada 2020.
Langkah berpagar dua ini adalah untuk pengaruh beliau dalam politik Sabah melalui parti Bersatu sebagai parti nasional yang ketika itu sedang berpengaruh di peringkat arus perdana di Putrajaya kemudian apabila Bersatu mulai lemah di persekutuan, dengan cepat Hajiji mengeluarkan parti Bersatu dalam pakatan politik di Sabah.
Kepimpinan Bersatu Sabah (termasuk Hajiji) keluar parti secara besar-besaran, memilih identiti sebagai GRS dan memutuskan tali politik langsung dengan PN di peringkat pusat.
Cubaan menjatuhkan Hajiji gagal dalam Langkah Kinabalu (Januari 2023) akibat pengkhianatan UMNO yang terus menyokong Hajiji manakala Hajiji mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN) yang kemudian menjadi tunjang dalam GRS.
Selepas Hajiji mengukuhkan kekuatan politiknya, maka DUN Sabah kemudian meluluskan Akta Anti Lompat (Mei 2023), yang Ironinya, selepas satu dekad politik ‘katak’, kerajaan yang diketahui banyak melompat memanfaatkan akta ini untuk mengukuhkan kedudukannya agar sokongan diterimanya tidak melompat.
Implikasi strategik
Sebenarnya usaha ‘lokalisme Sabah’ berlaku apabila tindakan keluar Bersatu dan mengambil alih GAGASAN untuk memindahkan pusat graviti daripada parti Semenanjung kepada pakatan parti tempatan dan ini untuk memudahkan tawar-menawar dengan mana-mana blok pusat khususnya PH tanpa beban hierarki parti nasional.
Hajiji juga berjaya membina politik berasaskan personaliti, naungan, akses sumber negeri, jaringan dan kuasa sebagai Ketua Menteri yang ampuh berjaya mengekang parti saingan seperti UMNO.
Namun itu kini mendapat cabaran besar daripada parti UMNO yang bangkit di Sabah dan tindak balas parti Warisan yang melihat GRS saingan terdekat dalam PRN Sabah kali ini.
Pindaan anti-lompat dilihat sebagai untuk menutup pintu taktik yang pernah menguntungkan dan merugikan pelbagai pihak sebelum ini.
Dalam jangka pendek, ia menyekat risiko ‘Langkah Kinabalu 2.0’ dalam jangka sederhana, ia memaksa rundingan pakatan pra-PRN jadi lebih serius kerana ‘pintu belakang’ makin sempit.
Rumusan
Maka dapat dirumuskan bahawa sejarah politik Hajiji Noor memperlihatkan mekanisme fenomena ‘lompat parti’ di Sabah bukan sekadar tindakan oportunis, tetapi suatu bentuk rasional politik dan strategi berpagar dua (political hedging) yang mencerminkan keanjalan dan pragmatisme dalam realiti politik tempatan.
Bermula daripada USNO ke UMNO, kemudian Bersatu, seterusnya membentuk GRS, Hajiji menyesuaikan diri dengan perubahan arus kuasa di persekutuan bagi memastikan kelangsungan dan autonomi Sabah dalam struktur politik nasional.
Strateginya menggabungkan lokalisme Sabah, personaliti kepimpinan, dan kebijaksanaan rundingan kuasa, yang membolehkan beliau bertahan dalam krisis seperti ‘Langkah Kinabalu’ dan mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Menteri.
Namun, langkah berpagar dua ini juga menimbulkan dilema moral dan cabaran kredibiliti terhadap kesetiaan politik serta kepercayaan pengundi.
Walaupun begitu, melalui pindaan Akta Anti Lompat 2023 dan usaha memperkukuh blok tempatan, Hajiji mengubah dinamika politik Sabah daripada bergantung pada parti Semenanjung kepada politik lokal berpusatkan kepentingan negeri, menjadikan lompat parti bukan lagi sekadar pengkhianatan, tetapi strategi bertahan dalam ekosistem politik yang luwes.
Maka, PRN Sabah kali ini akan menentukan tahap penerimaan perlakuan politik seumpama ini kalangan pengundi tempatan Sabah! Ini kali kah?
Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)