NICKELYSON LAKUN
KOTA SAMARAHAN: Langkah Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan 14 muka baharu kali ini akan memberi keyakinan kepada pengundi.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, GPS adalah parti politik yang terbuka setiap kali pilihan raya diadakan.
“Kita sendiri tahu keputusan GPS mengetengahkan calon-calon muda pada pilihan raya kali ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian pengundi terutamanya Undi18,” katanya kepada Utusan Sarawak.
GPS menampilkan 14 muka baharu untuk membawa cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Ini termasuk dua calon baharu wanita dalam kalangan 31 calon yang diumumkan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut mengenai perpindahan Dato Sri Nancy Shukri dari Batang Sadong ke Parlimen Santubong beliau berkata, tindakan ini merupakan tindakan yang sangat bijak.
“Tindakan ini sedikit sebanyak memberi contoh kepada parti-parti politik di Semenanjung yang sekarang ini masih berlaku pergelutan dalam parti mereka sendiri.
“Kita boleh tengok bagaimana mereka lompat parti dan keluar parti.
“Dan perkara ini sama sekali tidak menunjukkan sikap kebersamaan di dalam parti mereka,” katanya.
Katanya, tindakan keluar dan lompat parti ini boleh dilihat bagaimana penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang telah membuat kenyataan akan bertanding di atas tiket Perikatan Nasional (PN).
“Sangat senang bagi mereka keluar parti sedangkan di GPS Sarawak ini, cara berfikir politik kita masih berada di tahap yang baik,” katanya.