PILIHAN rasional sangat penting bagi orang politik untuk menarik sokongan dan pada masa sama pengundi juga mempunyai pilihan rasional mereka sendiri. Yang penting kedua-duanya mahukan apa-apa yang diingini akan tercapai. Hakikatnya, setiap individu membuat keputusan berdasarkan pertimbangan rasional yang ada pada mereka.
Pengundi sentiasa berasa mereka bertindak rasional walaupun rasional mereka kadangkala kurang difahami oleh pemimpin dan parti politik yang bertanding. Begitu juga orang politik yang seringkali berasa tingkah laku, tawaran manifesto dan apa-apa yang mereka lakukan adalah pilihan paling rasional. Namun seringkali hubungan antara pengundi dan pemimpin politik tidak mencapai titik tengah rasionaliti dan mereka mempunyai rasionaliti mereka sendiri.
Dalam teori sosiologi, teori pilihan rasional sangat penting dalam membuat keputusan. Ia banyak dimanfaatkan dalam aspek ekonomi dan politik. Kata kunci teori ini adalah berdasarkan pertimbangan rasional bagi memaksimumkan kepentingan dan faedah peribadi mereka. Ternyata teori ini digunakan untuk menganalisis dan memahami tingkah laku pengundi, ahli politik dan dasar parti serta institusi politik. Asasnya teori ini ialah individu adalah pelaku atau aktor rasional penting bagi membuat keputusan berdasarkan perkiraan kos dan manfaat.
Pengundi memilih calon, pemimpin atau parti yang mereka percaya akan dapat memberikan manfaat terbesar mereka manakala ahli politik membuat keputusan untuk memaksimumkan peluang mereka agar dapat terpilih atau mengekalkan kuasa. Selain rasionaliti untuk bertindak secara rasional bagi memaksimumkan kepentingan mereka, asas teori pilihan rasional juga adalah berdasarkan kos dan manfaat dalam pertimbangan pembuatan keputusan pada setiap pilihan yang ada.
Sewajarnya dalam membuat pilihan rasional, asas penting ialah maklumat yang lengkap dan individu mempunyai akses kepada semua maklumat yang diperlukan dalam membuat keputusan. Begitu juga aspek konsisten dalam membuat keputusaan berdasarkan rasional yang didukungi.
Rasional pengundi, ahli politik dan pembuat dasar
Tingkah laku pengundi dapat difahami dalam konteks pilihan raya dan teori pilihan rasional dapat membantu memahami tingkah laku pengundi di Malaysia. Pengundi membuat keputusan berdasarkan manfaat kebendaan yang mereka jangkakan, seperti bantuan kewangan, pembangunan infrastruktur atau dasar yang menguntungkan mereka. Misalnya, dalam pilihan raya umum, pengundi di kawasan luar bandar lebih cenderung menyokong parti yang menjanjikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih baik.
Ternyata pengundi membuat pilihan berasaskan manfaat peribadi seperti dasar ekonomi, pendidikan, dan kesejahteraan sosial. Pada masa sama, pengundi sering membuat keputusan berdasarkan kepentingan peribadi dan komuniti mereka. Misalnya, kelompok etnik Cina cenderung menyokong Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dilihat berani memperjuangkan kepentingan etnik mereka.
Tambahan pula ramai pemimpin DAP terdiri daripada etnik Cina. Rasional ini membuat DAP paling popular dalam kalangan etnik Cina. Selain itu, terdapat juga rasional untuk menjadi agenda semak dan imbang sentiasa berlaku yang akan menguntungkan pengundi.
Teori ini dapat menjelaskan faktor pengundi di Malaysia cenderung mengundi mengikut garis etnik atau agama. Misalnya, pengundi Melayu cenderung menyokong parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sementara pengundi Cina dan India pula menyokong parti DAP atau Kongres India Malaysia (MIC).
Pilihan pengundi terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) dipengaruhi oleh faktor seperti etnik, agama, ekonomi dan sosial. Rasionalnya GPS memperjuangkan semua kepentingan tersebut dan rasional ini dilihat pula dengan pelbagai pembangunan, pengagihan kek ekonomi, kestabilan sosial dan ini lebih diyakini pengundi.
Ahli politik
Ahli Politik pula merancang strategi untuk memaksimumkan sokongan pengundi dan mendapatkan kuasa. Sering ahli politik membuat keputusan strategik berdasarkan perhitungan atau perkiraan rasional untuk memaksimumkan peluang mereka untuk menang dalam pilihan raya. Sebagai contoh, pembentukan gabungan politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) boleh dilihat sebagai langkah strategik untuk menggabungkan sumber dan sokongan bagi memaksimumkan peluang menang dalam pilihan raya.
Teori pilihan rasional juga membolehkan kita menganalisis rasional faktor-faktor seperti rekod prestasi, personaliti dan janji pilihan raya calon yang mempengaruhi keputusan pengundi.
Sebenarnya, teori pilihan rasional dapat menjelaskan faktor-faktor ahli politik memberi tumpuan kepada kawasan marginal atau ‘swing’ yang boleh menentukan hasil pilihan raya. Ia juga membantu memahami penggunaan taktik seperti ‘gerrymandering’ atau perpindahan pengundi, malah melakukan persempadanan semula bagi kawasan pilihan raya untuk memaksimumkan peluang kemenangan.
Penggubal dasar
Bagi pembuat dasar melalui institusi yang mereka kuasai, mereka akan menggubal dasar yang meningkatkan kesejahteraan umum untuk mengekalkan sokongan politik. Pembentukan atau pengubalan dasar ini juga dipengaruhi oleh pertimbangan rasional. Misalnya, ahli politik akan menyokong dasar yang mereka percayai akan meningkatkan populariti mereka atau mengukuhkan sokongan dari kumpulan tertentu. Sebagai contoh, dasar-dasar yang memihak kepada Bumiputera sering kali dilihat sebagai usaha untuk memastikan sokongan dari kumpulan tersebut. Ia bukan sahaja selaras dengan perlembagaan negara, akan tetapi usaha melaksanakan, mempertingkatkan tindakan baharu akan dilihat dapat meningkatkan sokongan kepada kerajaan yang memerintah.
Pun begitu, perubahan undang-undang pilihan raya dilakukan untuk manfaat kepada parti politik dan institusi mereka.
Teori pilihan rasional ini dapat membantu memahami kaedah kerajaan negeri dan persekutuan merundingkan pembahagian sumber, kuasa dan tanggungjawab. Ia juga membantu menganalisis rasional akan faktor-faktor yang mendorong kerjasama atau konflik antara mereka. Seterusnya teori ini membantu memahami proses kerajaan merancang dan melaksanakan dasar untuk memaksimumkan sokongan rakyat dan mengurangkan ketidakpuasan termasuk analisis terhadap dasar ekonomi seperti membuat keputusan mengenai subsidi, bantuan kewangan dan pelaburan infrastruktur berdasarkan analisis kos-manfaat, dasar sosial seperti rasional menggubal dasar pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan sosial yang memaksimumkan manfaat kepada rakyat dan mengekalkan sokongan politik.
Maka teori pilihan rasional dapat digunakan untuk membantu memahami langkah oleh pembuat dasar lebih cenderung untuk melaksanakan dasar yang menguntungkan kumpulan kepentingan tertentu atau kawasan yang menyokong mereka. Walaupun pemahaman teori ini boleh dilihat faktor seperti etika, keadilan sosial, dan tanggungjawab moral dalam proses pembuatan dasar.
Sisi lain
Di sisi lain, terdapat juga usaha bukan populis terpaksa juga dilakukan bagi memastikan rasional kesejahteraan negara dalam jangka masa panjang negara. Misalnya, penyasaran subsidi diesel dilakukan bagi memastikan golongan kaya atau berpendapatan tinggi tidak menumpang subsidi golongan berpendapatan rendah. Ia juga dilakukan bagi mengelakkan penyeludupan diesel dilakukan secara berleluasa kerana harga diesel sebelum penyasaran adalah termurah di rantau ini yang mengakibatkan penyeludupan minyak diesel menyebabkan anggaran kerugian sebanyak RM3 juta sehari.
Ternyata teori pilihan rasional menyediakan kerangka analisis yang penting untuk memahami tingkah laku politik dan penghasilan budaya politik di negara ini dan membantu menjelaskan tingkah laku pengundi, ahli politik dan pembuat dasar membuat keputusan berdasarkan analisis rasional kos-manfaat. Pendekatan ini mempunyai keterbatasan kerana budaya politik adalah hasil daripada interaksi yang kompleks antara pelbagai faktor, termasuk sejarah, sosial, ekonomi dan psikologi, yang tidak selalu rasional. Maka, gabungan teori pilihan rasional dengan pendekatan lain yang mempertimbangkan dimensi-dimensi sosial, budaya dan etika akan menjadi lebih menyeluruh bagi memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai dinamik budaya politik di negara ini.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).