Dalam satu portal milik parti Islam Semalaysia (PAS), baru-baru ini Presiden PAS, Hadi Awang menyatakan kepentingan bahasa dan memberikan perspektif sejarah mengenainya. Apabila Islam tiba di kepulauan Melayu turut membawa bahasa Arab sebagai sumber dakwah dan pendidikan.
Kemudian selepas beberapa ratus tahun, maka berlakunya pengubahsuaian bahasa Arab ke tulisan Jawi bagi tujuan memasyarakatkan dakwah, pendidikan dan ketamadunan. Seterusnya berupaya mengembangkan bahasa Melayu dengan tulisan Jawi dan ini jelas apabila kedatangan penjajah Perjanjian Pangkor ditandatangani dengan menggunakan tulisan Jawi.
Akibat pengaruh tulisan roman barat tulisan jawi kemudian bertukar menjadi tulisan rumi.
Perkembangan ini menyebabkan Hadi Awang mendakwa wujudnya gerakan merosakkan bahasa Melayu pada era penjajahan secara halus apabila tulisan Jawi bertukar kepada tulisan rumi yang dilakukan melalui pelajaran dan pendidikan.
Kesannya kesemua catatan sejarah ke cerita lisan akhirnya disalin dalam tulisan rasmi. Beliau juga mendakwa sejarah Islam dan peranannya turut dilupakan. Faktor perubahan modenisasi masyarakat setempat tidak pula dijadikan hujah bagi menilai situasi tersebut.
Beliau menyatakan peminggiran tulisan Jawi selepas kemerdekaan persekutuan Tanah Melayu yang mengakibatkan ramai buta huruf tulisan Jawi. Situasi ini berbeza dengan etnik Cina dan India yang terus memelihara tulisan mereka.
Dari satu sisi, para pejuang kemerdekaan terus berjuang memastikan kedudukan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan sepertimana tertakluk dalam perlembagaan negeri. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan.
Perubahan yang berlaku pada masa kini apabila bahasa Inggeris semakin meluas di negara iini menyebabkan Hadi Awang menyatakan terdapat “berlakunya gerakan meminda tulisannya mengikut agenda penjajah, maka bahasanya rosak dan dilemahkan peranannya pula. Sehinggakan, pengaruhnya juga dirancang supaya dihapuskan, malah menjadikan kita sudah ketinggalan jauh ke belakang”.
Hadi Awang juga menyeru agar “Jangan pedulikan suara songsang yang mengigau kerana masih tidur dalam lamunan zaman penjajah atau kalangan mereka yang gila mahu memaksa bahasa Melayu ditinggalkan”. Hal ini berikutan berlakunya, “kini sudah ada suara kesedaran yang wajib diikuti dengan tindakan yang bersungguh-sungguh. Hal ini menyebabkan Datuk Seri Abdul Karim Hamzah, Menteri Pelancongan Sarawak menegur Hadi Awang agar “Jangan jadi katak bawah tempurung, dan mengingatkan Hadi bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi di Sarawak di bawah perlembagaan negeri.
Iltizam Perdana Menteri
Kenyataan Hadi Awang tersebut merujuk kepada usaha Perdana Menteri yang mahu mengembalikan bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Negara dan memartabatkan penggunaannya secara meluas.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan akan menggunakan bahasa Melayu bagi setiap urusan rasmi negara, meliputi mesyuarat dan persidangan antarabangsa. Beliau sendiri menggunakan bahasa Melayu apabila lawatan rasmi ke Thailand, Kemboja, Brunei ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa, “Sudah sampai masanya kita perlu bangga dengan bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan… kita bertanggungjawab memperkasa bahasa Melayu…Jadi, kita tidak ada sebab untuk rasa janggal dan berbahasa Melayu ketika di luar negara kerana orang lain boleh bangga dengan bahasa masing-masing.
Beliau juga menyatakan penduduk di negara ASEAN paling banyak menggunakan bahasa Melayu/Indonesia dan pada masa akan datang kemungkinan bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ASEAN. Hal ini diperkukuhkan lagi kerana terdapat enam negara di ASEAN kini menggunakan bahasa mereka sendiri dalam urusan rasmi masing-masing untuk diterjemah manakala empat lagi menggunakan bahasa Inggeris.
Jadi pendekatan Malaysia ialah sekiranya negara tersebut menggunakan bahasa ibunda mereka, maka Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu manakala sekiranya sesebuah negara itu menggunakan bahasa Inggeris, maka bahasa Inggeris atau bahasa Melayu akan digunakan.
Reaksi Sarawak
Sarawak tidak menentang penggunaan bahasa Melayu, malah Sarawak menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi, ian ini menunjukkan keutamaan terhadap kedua-dua bahasa tersebut.
Tidak ada yang lebih, tidak ada pula yang kurang. Demikian pendirian kerajaan Sarawak dan menurut Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Premier Sarawak bahawa ini tidak bermakna beliau menentang dasar kebangsaan, tetapi ia dibuat berlandaskan perkara yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga menyeru pihak awam tidak keliru dengan menganggap kerajaan Sarawak pimpinannya tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan. Sebaliknya langkah kerajaan Sarawak perlu dilihat lebih praktikal dan bersedia bagi menempuh era globalisasi yang bahasa utama paling banyak digunakan ialah bahasa Inggeris.
Justeru, perkhidmatan awam Sarawak akan terus menggunakan bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Sarawak.
Globalisasi dan Ekonomi Digital
Sarawak mahu melangkah masa depan ke arah dasar ekonomi digital dan ekonomi kontemporari. Terdapat banyak istilah bahasa Inggeris yang terlalu drastik perubahannya. Penerimaan dan pengamalan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan mengekalkan bahasa Inggeris sebagai satu lagi bahasa komunikasi bukanlah sesuatu yang baharu di Sarawak.
Pendekatan sedemikian dilakukan bagi memastikan rakyat Sarawak terus kompetitif dalam persaingan di peringkat global.
Dalam Perkara 161 Perkara 1 Penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda di Negeri Sabah dan Sarawak ada menjelaskan bahawa Tiada Akta Parlimen yang menamatkan atau menyekat penggunaan bahasa Inggeris yang termasulah perkara (2) Fasal (1) termasuk (c) bagi penggunaan bahasa Inggeris di Negeri Sabah atau Sarawak di dalam Dewan Undangan atau bagi maksud rasmi yang lain (termasuk maksud rasmi Kerajaan Persekutuan).
Perkara yang terkandung dalam perlembagaan tersebut digunakan sebagai perisai politik bagi menentang ‘nasionalisme’ bahasa oleh pemipin politik Sarawak.
Justeru, baru-baru ini Abang Johari menegaskan perkhidmatan awam Sarawak akan terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi bersama-sama dengan bahasa kebangsaan. Penegasan ini merupakan maklum balasnya terhadap kenyataan Ketua Setiausaha Negara yang mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam.
Isu penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris seharusnya difahami dalan konteks penggunaan serta perlu mengetahui konteks kesesuaian kepenggunaannya. Tidak ada tinggi atau rendah martabat bahasa dalam konteks menghamornikan kedua-dua bahasa tersebut.
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara perlu dimartabatkan manakala bahasa Inggeris perlulah dikuasai. Yang dibimbangi ialah apabila salah sebuah bahasa tersebut gagal dikuasai dengan baik, atau kedua-dua bahasa tersebut tidak dimartabat sesuai dengan kedudukan dan pendirian semasa. Sekiranya ini berlaku maka ia akan menjadi satu tragedi intelektual kepada rakyat dan negeri Sarawak!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)