
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta berdaya saing global, selaras aspirasi menjadikan Sarawak peneraju ekonomi digital ASEAN menjelang 2030.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd. Hassan berkata, pembangunan ekonomi digital menuntut graduan celik teknologi dan berkemahiran dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) serta automasi pintar.
“Politeknik Kuching berperanan sebagai pusat pembangunan bakat digital tempatan dalam bidang Teknologi Maklumat, Keselamatan Siber, Reka Bentuk UI/UX dan Sains Data,” katanya ketika merasmikan Sidang Ketiga Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sarawak 2025 di Politeknik Kuching, hari ini.
Beliau menegaskan, selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015–2025), kerajaan berhasrat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah inovatif dan mampu memacu ekonomi negeri.

Katanya, inisiatif BAKaT (Bimbingan, Aplikasi Kemahiran dan Transformasi) yang dilaksanakan sejak awal tahun memberi penekanan kepada bimbingan kerjaya, kemahiran praktikal dan pembangunan sahsiah pelajar, selaras matlamat POLYCC menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam membina modal insan berkualiti.
Ahmad Nadzri turut menjelaskan, Dasar TVET Negara 2030 menjadi pemacu utama menjadikan Malaysia negara maju berasaskan kemahiran dan inovasi, dengan Sarawak menyokong dasar tersebut menerusi pelbagai polisi negeri.
“Kerajaan mensasarkan peningkatan enrolmen pelajar TVET sebanyak 20 peratus menjelang 2025, khususnya dalam bidang berimpak tinggi seperti digitalisasi, automasi industri, tenaga boleh diperbaharui dan sains data,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai program latihan terkini diperkenal menggunakan teknologi seperti simulasi interaktif dan AI, selain menggalakkan inovasi serta keusahawanan dalam kalangan pelajar.
“Graduan perlu terus membina kemahiran dan bersedia menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah. Anda adalah aset penting negeri dan negara, jadi gunakan ilmu dan pengalaman yang diperoleh di POLYCC untuk menjayakan agenda transformasi Sarawak Maju, Hijau dan Digital menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Mohamad Nazri Ismail berkata, majlis konvokesyen kali ini melibatkan graduan dari pelbagai bidang pengajian di semua politeknik dan kolej komuniti Zon Sarawak.
Menurutnya, kejayaan graduan adalah hasil sokongan ibu bapa, dedikasi tenaga pengajar dan kerjasama erat dengan industri, yang menjadi rakan utama POLYCC dalam menyediakan latihan berorientasikan pasaran kerja sebenar.
Oleh Shikin Mahmud