
KUCHING: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine yang beroperasi di sekitar Kuching dan Padawan menerusi empat siri serbuan yang membawa kepada rampasan hampir 27 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM1.35 juta.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) antara 4.35 petang pada 3 Julai hingga 12.30 tengah malam 4 Julai lalu turut membawa kepada penahanan tujuh suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, dua lelaki Indonesia dan seorang wanita Indonesia berusia antara 25 hingga 46 tahun.
Alexson berkata, serbuan pertama di Prima Homes, Jalan Matang, menyaksikan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan bersama rampasan 60.5 gram dadah disyaki methamphetamine.
Serbuan kedua di sebuah pangsapuri di P Residence, Jalan Batu Kawa pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, seorang wanita tempatan berusia 44 tahun, dua lelaki Indonesia berusia 37 dan 46 tahun serta seorang wanita Indonesia berusia 34 tahun. Polis turut merampas 5.45 gram dadah disyaki methamphetamine.
Dalam serbuan ketiga di hadapan sebuah kedai di Jalan Setia Raja, Stutong, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun bersama 5,300 gram dadah disyaki methamphetamine.
Susulan tangkapan itu, serbuan keempat di sebuah pangsapuri di Jalan Tabuan Tranquility membawa kepada penemuan tambahan 21,600 gram dadah disyaki methamphetamine.
Alexson berkata, keseluruhan rampasan berjumlah 26,965.95 gram dengan anggaran nilai pasaran RM1.35 juta dan dipercayai mampu membekalkan dadah kepada kira-kira 134,500 penagih.
Siasatan mendapati ahli sindiket menerima upah antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan untuk mengedar dadah di sekitar Kuching dan Padawan. Mereka berperanan sebagai ‘runner’ yang menerima arahan daripada ‘upliner’ untuk menghantar dadah menggunakan kaedah “drop and collect” tanpa bersemuka dengan pelanggan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Ujian saringan awal air kencing mendapati dua lelaki tempatan berusia 25 dan 43 tahun, seorang lelaki Indonesia serta wanita Indonesia berusia 34 tahun positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Alexson berkata, semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Polis turut menyita sebuah motosikal Yamaha NVX bernilai RM10,500 dan sebuah kereta Proton Wira bernilai RM6,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Alexson berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam, sambil menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN Bukit Aman di 012-2087222 atau hotline JSJN Sarawak di 017-5929211.
Oleh Connie Chieng