
BAU: Polis mempergiatkan rondaan keselamatan di sekolah dan asrama pelajar di Daerah Bau bagi memastikan keselamatan pelajar, mencegah gejala buli serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan kawasan sekolah.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, anggota Kenderaan Rondaan Bergerak (MPV) telah menjalankan rondaan berkala dari 11.00 pagi hingga 10.00 malam pada 8 Julai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau, SMK Singai, SMK Lake dan SMK Paku.
Beliau berkata, rondaan itu bertujuan memastikan keselamatan sekolah dan pelajar, menggerakkan Kempen Anti-Buli, mengekalkan ketenteraman awam, melindungi harta benda sekolah serta memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa sekolah merupakan kawasan yang selamat.
Mohd Haide berkata, pemeriksaan di kawasan sekolah dan asrama mendapati keadaan keseluruhannya berada dalam keadaan aman serta terkawal.
Katanya, pegawai polis turut menyampaikan nasihat ringkas mengenai aspek keselamatan dan pencegahan buli kepada pelajar, selain mengingatkan pengawal keselamatan supaya segera melaporkan kepada polis sekiranya berlaku sebarang insiden seperti pergaduhan, pencerobohan, kehilangan harta benda atau ancaman keselamatan.
Beliau berkata, rondaan berkala akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan sekolah di Daerah Bau sentiasa terpelihara.
Oleh Connie Chieng