Polis temui senapang bakakuk dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan remaja

Facebook
WhatsApp
KES TEMBAKAN...suspek dan senapang buatan sendiri berjaya ditemui polis tidak jauh daripada rumah suspek.

LAWAS: Polis berjaya menemukan satu laras senapang dipercayai buatan sendiri (bakakuk) yang digunakan dalam kejadian seorang remaja cedera terkena tembakan di Long Lidung, Jalan Ba’kalalan, di sini, pada 16 Ogos lalu.


Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Anak Tindan, berkata senjata api berkenaan ditemukan pada 28 Ogos lalu.


“Pada 16 Ogos 2026, satu laporan polis diterima berkaitan seorang remaja yang cedera dengan kesan tembakan ketika sedang membersihkan kawasan tadahan air yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Long Lidung, Jalan Ba’kalalan, Lawas.


“Siasatan lanjut mendapati ketika kejadian, mangsa keluar bersama saudaranya untuk berburu di hutan berhampiran rumahnya. Kesan tembakan yang mengenai mangsa dipercayai dilepaskan oleh rakannya yang menyangka mangsa adalah binatang buruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, suspek telah ditahan pada 25 Ogos lalu sebelum polis menemukan senapang berkenaan pada 28 Ogos.


“Senjata api berkenaan disembunyikan oleh suspek di sebuah pondok tidak jauh dari rumahnya dengan diletakkan di atas tanah dan ditutup menggunakan zink,” katanya.


Liong berkata polis meneruskan siasatan dengan mengesan saksi berkaitan serta mendapatkan maklumat lain yang penting bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.


“Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes ini.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Senjata 1960,” katanya.