BINTULU: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 21 tahun ditahan polis dalam satu serbuan di Jalan Masjid di sini.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, penahanan itu dilakukan setelah suspek disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.
Dalam serbuan semalam, pihak polis merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 5.3 gram.
Susulan itu, suspek disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Hasil saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Oleh itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” kata Nixon dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, tambahnya, suspek juga ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika berada di Sarawak.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di kawasan Samalaju, Bintulu dan mampu menampung antara 20 hingga 25 orang penagih.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sekurang-kurangnya dua sebatan.
Sementara itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, suspek berdepan dengan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, serta boleh dikenakan pengawasan selama dua tahun.
“Tangkapan ini merupakan satu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah serta mencegah kegiatan jenayah di Daerah Bintulu ini.
“Jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini, boleh memaklumkan kepada Bilik Gerakan PDRM, IPD Bintulu di talian 086-318304 atau Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Bintulu,” katanya.