
SEPANG: Seorang wanita warga China ditahan selepas bertindak agresif ketika cuba melalui pintu pelepasan antarabangsa di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA ACP M. Ravi berkata dalam kejadian pukul 1.35 petang di Pintu Pelepasan Antarabangsa C, suspek didapati melalui pintu autogate pemeriksaan keselamatan tanpa tiket sah dan bertindak agresif apabila ingin diperiksa oleh petugas keselamatan.
“Bertindak atas maklumat, polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) KLIA berjaya menahan suspek pada pukul 1.45 petang hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ravi berkata siasatan awal mendapati suspek telah masuk ke dalam negara ini pada 30 April lepas untuk bercuti bersama rakan namun tidak mempunyai wang untuk membeli tiket pulang ke negara asal.
Beliau berkata suspek telah dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini dan ditahan reman sehari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama