
LIMBANG: Polis berjaya menyelesaikan kes curi topi keledar yang berlaku di bandar ini pada Isnin lalu dengan tertangkapnya seorang suspek wanita tempatan semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, hasil semakan mendapati suspek wanita berusia 38 tahun itu turut mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Suspek ditahan selepas satu laporan polis dibuat berkaitan kehilangan sebuah topi keledar milik seorang lelaki yang diletakkan di atas motosikal berhampiran sebuah pasar raya di Kampung Penapak pada Isnin lalu.
“Hasil semakan rekod lampau, suspek didapati mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Parum berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang telah menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan suspek.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 19 saat di media sosial yang memaparkan kelibat suspek mencuri topi keledar berhampiran sebuah pasaraya di Limbang.
Video yang dimuatnaik melalui laman sosial itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan pasaraya terbabit.
Oleh Adeng Adrus