
MIRI: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel pencawang elektrik di kawasan Kuala Baram di sini.
Tangkapan dilakukan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah bersama Polis Bantuan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Polis Daerah Miri di Facebook, sebelum ini pihak SEB memaklumkan berlaku gangguan bekalan elektrik di pencawang Kuala Baram pada 27 Disember 2025 selepas kabel di kemudahan itu didapati telah dirosakkan dan dicuri.
“Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan tersebut.



“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan yang dipercayai berperanan sebagai pembeli kabel tembaga yang dicuri,” kata kenyataan itu.
Hasil tangkapan, pihak polis turut merampas sejumlah kabel tembaga daripada wanita berkenaan yang dipercayai hasil kegiatan curi bagi membantu siasatan serta dijadikan bahan bukti kes.
Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Oleh Liong Chai Ling