
KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan bahawa polis telah menahan seorang lelaki yang terlibat dalam serangan agresif menggunakan parang terhadap seorang mangsa, di Tabuan Lot semalam.
Alexson berkata suspek telah bertindak ganas dengan menghayunkan parang ke arah orang awam yang berada di luar masjid kawasan Tabuan Lot.
Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Alexson turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengawal emosi dan tidak bertindak agresif sehingga membahayakan diri sendiri dan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya menyaksikan tingkah laku mencurigakan atau berisiko tinggi serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian itu.
Oleh Connie Chieng