
SIBU: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai menyerang isteri dan anak perempuannya di rumah mereka di Jalan Permai Jaya, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, hasil tindakan pantas pasukan polis, suspek berumur 57 tahun itu berjaya dikesan dan ditangkap di kawasan Kanowit sekitar 4.15 petang tadi.
“Suspek akan dipohon reman di Mahkamah Sibu pada esok (30 Oktober) bagi siasatan lanjut dan pihak polis masih mengenalpasti motif kejadian sebenar.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya. Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Sibu di talian 084-336144, Pegawai Penyiasat Insp Ahmad Hakimi Abd Azid di talian 011-31873715, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya menerusi siaran media, sebentar tadi.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian pergaduhan melibatkan kecederaan parah terhadap dua beranak pada 7.00 pagi.
“Laporan polis tersebut diterima melalui panggilan kecemasan MERS 999, yang dibuat oleh salah seorang mangsa yang memaklumkan bahawa dia dan ibunya telah ditetak menggunakan sebilah parang oleh ayahnya sendiri dan suspek telah melarikan diri sejurus selepas kejadian,” ujarnya.
Menurutnya, akibat serangan ini isteri suspek berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu manakala anak perempuan mangsa berusia 20 tahun pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Susulan laporan diterima, satu pasukan Task Force telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan serta usaha mengesan suspek terbabit,” jelasnya.