Polis tahan lelaki gagal pamer lesen hiburan sah

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI dan anggota polis menjalankan pemeriksaan di sebuah premis hiburan sekitar Galacity, Jalan Tun Jugah menerusi Op Noda dan Op Pusat Hiburan, malam tadi. Foto Polis Daerah Kuching.

KUCHING: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana gagal mempamerkan lesen hiburan sah dalam operasi di sebuah premis hiburan di Galacity, Jalan Tun Jugah, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan sekitar 10.25 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerusi Op Noda dan Op Pusat Hiburan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan gagal mempamerkan lesen hiburan yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.

“Susulan itu, seorang lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

“Pihak polis turut merampas peralatan yang digunakan di premis hiburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis akan terus menjalankan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha premis hiburan mematuhi peraturan ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengusaha premis hiburan di daerah ini supaya mendapatkan lesen hiburan awam yang sah serta tidak menjalankan aktiviti melebihi waktu operasi yang dibenarkan.