
LAWAS: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah rumah di jalan menuju ke Ba’kelalan, semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Lawas sekitar 3.50 petang.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan satu kotak rokok berisi satu paket plastik lut sinar mengandungi hablur kristal jernih disyaki dadah jenis syabu yang disembunyikan di tempat letak tangki air belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, bahan yang dirampas itu dianggarkan seberat 0.71 gram dengan nilai anggaran RM140.

Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine (AMP) dan methamphetamine (METH).
Tambah Liong, semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Oleh Adeng Edrus