
PADAWAN: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol manakala 31 saman dikeluarkan dalam Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di Jalan Batu Kawa, Kuching, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William berkata operasi selama tiga jam itu diketuai seorang pegawai kanan bersama 13 anggota polis, bermula dari 12.01 tengah malam hingga 3.00 pagi, bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.
Beliau berkata sebanyak 31 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Barry berkata dua lelaki tempatan berusia 30 dan 31 tahun ditahan di bawah Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sehingga dua tahun.
Beliau berkata polis akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi membanteras kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk serta sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pengguna jalan raya.