
SIBU: Polis merampas dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 50.7 gram dengan nilai semasa rampasan dianggarkan RM5,000 dalam satu tangkapan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing di belakang sebuah stesen minyak sekitar 1.00 petang di Jalan Tunku Abdul Rahman.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 50.7 gram dan nilai rampasan dianggarkan RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan
tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Suspek yang berusia dalam lingkungan 32 hingga 42 tahun itu seterusnya ditangkap dibawah Seksyen
39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan direman bagi membantu siasatan.
“Hukuman bagi kesalahan dibawah Seksyen 39b ADB 1952 jika disabitkan kesalahan mandatori gantung sampai mati,” tegasnya.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Oleh yang demikian, pihak polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah diminta tampil dan menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN 0122087222,” ujar beliau.