BAU: Polis sedang menyiasat tiga kes berasingan melibatkan kecurian dan khianat membabitkan meter air, barangan kilang serta kabel telekomunikasi di daerah Bau, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM31,195.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, kes pertama membabitkan kehilangan meter air di luar sebuah rumah di Kampung Boka Toya, Sungai Pinang Ulu, kira-kira 5.30 pagi semalam.
Beliau berkata, pengadu berusia 68 tahun mendapati meter air berkenaan hilang dan menganggarkan kerugian sebanyak RM100.
“Siasatan awal mendapati meter tersebut terletak di tepi jalan, jauh dari rumah. Kawasan berkenaan juga tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), manakala tiada saksi bebas yang melihat kejadian,” katanya.
Dalam kes kedua, polis menyiasat kejadian pecah masuk di Lien Hoe Lime Industries Sdn Bhd, Batu 11, Jalan Kuching-Bau (Keranji), yang dilaporkan kira-kira 7.30 pagi semalam.
Beberapa barangan termasuk kabel elektrik, sebuah pemutus litar (breaker) dan sebuah motor getaran (vibration motor) dilaporkan hilang dengan jumlah kerugian dianggarkan RM15,095.
“Siasatan awal mendapati kawasan kilang berpagar dan berkunci, manakala pengawal keselamatan bertugas dari 5.00 petang hingga 7.00 pagi.


PENCURIAN KABEL… Keadaan pencawang telekomunikasi di Kampung Sega, Siniawan yang dipercayai diceroboh suspek sebelum beberapa kabel telekomunikasi dilaporkan hilang dan rosak.
“Keadaan jeriji tingkap yang rosak dipercayai menunjukkan suspek masuk ke pejabat melalui tingkap tersebut,” katanya.
Kes ketiga pula membabitkan kecurian dan khianat kabel telekomunikasi di sebuah pencawang telekomunikasi CelcomDigi di Kampung Sega, Siniawan.
Kes itu disedari selepas seorang juruteknik tiba di lokasi kira-kira 11.00 pagi semalam untuk menjalankan kerja pembaikan dan mendapati beberapa kabel hilang serta rosak.
Barangan yang terlibat ialah enam unit kabel RRU DC 25mm, tiga unit kabel RRU DC 10mm dan tiga unit kabel CPRI, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM16,000.
Haide berkata, siasatan awal mendapati tapak berkenaan terletak di atas bukit di tepi jalan dan dipagari dawai bersirat (chain-link) yang dipercayai telah dipotong oleh suspek untuk masuk ke kawasan tersebut.
“Ketiga-tiga kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Polis telah merakam percakapan pengadu, menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian serta mengambil gambar dan menyediakan rajah kasar lokasi.
Pasukan detektif turut diarahkan untuk mengesan dan menangkap suspek.
Oleh Connie Chieng




